Main Game! Bukan sekadar permainan sahaja

Teknologi 13 Feb 2021 Tari Basir
Pilihan oleh Tari Basir
Main Game! Bukan sekadar permainan sahaja
Main Game! Bukan sekadar permainan sahaja © Jjfarq | Dreamstime.com

Dahulunya, permainan komputer atau video (video game) sering kali dianggap perkara yang melalaikan dan membuang masa. Malahan, dahulu game dianggap penyebab keganasan dalam kalangan kanak-kanak, sehingga ibu bapa bangkit menentang pengeluarannya.

Walaubagaimanapun, seiring dengan peredaran zaman, game telah pun keluar daripada stigma tersebut. Bahkan bagi sebahagian manusia, game telah pun menjadi karier pekerjaan seperti membuat streaming secara langsung, mahupun menyertai pertandingan.

Malahan, pertandingan game menawarkan hadiah wang yang cukup tinggi, dan ditonton jutaan peminatnya di seluruh dunia.

Hakikatnya, game tidak lagi hanya dimainkan oleh kanak-kanak sahaja. Bahkan golongan dewasa rata-ratanya juga bermain game tanpa mengenal jenis peranti seperti computer, console mahupun di telefon bimbit.

Kebaikan game dari sudut kajian ilmiah

Sebelum dikaji dari sudut kajian ilmiah, game dilihat memberikan implikasi yang negatif terutamanya kepada kesihatan dan psikologi anak-anak. Dari sudut kesihatan, tempoh bermain game yang cukup lama memberi kesan buruk kepada mata. Malahan, keganasan atau kemahiran sosial yang rendah juga hasil implikasi buruk game terhadap psikologi mereka.

Apabila zaman berubah, rata-rata implikasi negatif ini masih memberi kesan apabila kajian ilmiah dilakukan. Namun, adanya kajian ilmiah yang mengkaji kesan baik terhadap game, dan ternyata mampu memberikan kesan baik terutamanya kepada anak-anak. Antaranya ialah kemahiran berfikir dan membuat keputusan dengan lebih cepat.

Professor Daphne Bavelier telah mengetuai satu kajian dari University of Rochester (New York, Amerika). Kajian tersebut bertujuan mengkaji adaptasi sistem neuron terhadap beberapa jenis game. Responden kajian yang berumur antara 18 hingga 25 tahun telah diminta untuk bermain game selama 50 jam.

Hasil kajian menunjukkan, respon yang bermain game bergenre aksi seperti Call of Duty dan Unreal Tournament berupaya membuat keputusan 25% lebih pantas, berbanding mereka yang bermain game berentak perlahan seperti The Sims 2.

Selain itu, bermain game juga dibuktikan mengurangkan keinginan terhadap makanan, dadah dan seks. Dalam satu kajian yang dilakukan sekumpulan ahli psikologi daripada Plymouth University (Plymouth, England) dan Queensland University of Technology (Brisbane, Australia) 31 orang pelajar yang bermain game Tetris didapati kurang keinginan terhadap tiga perkara tersebut.

Malahan, bermain game juga didapati mampu menjadi terapi yang lebih berkesan dalam merawat depresi, berbanding kaedah kaunseling konvesional. Dalam satu kajian yang dilakukan terhadap 168 orang remaja, didapati 44% daripada mereka pulih sepenuhnya dengan hanya bermain game SPRAX.

Falsafah di sebalik game

Hakikatnya, banyak perkara yang boleh dipelajari daripada bermain game, dan diterjemahkan dalam mengharungi arus kehidupan. Sebagai contoh, game yang menggunakan sistem peringkat atau level, dan juga game yang berunsurkan peranan atau Role Playing Game (RPG).

Apabila di awal game, musuh-musuh yang memiliki level yang tinggi tidak dapat dikalahkan oleh watak yang memiliki level yang rendah. Bahkan watak tersebut akan mati serta-merta sekiranya berkeras mahu mengalahkan musuh-musuh tersebut.

Namun, apabila watak tersebut telah pun dimainkan dalam masa yang lama, dibaik pulih atau upgrade, meraih pengalaman (EXP) sehingga memiliki level yang setaraf atau lebih tinggi daripada musuh-musuh di awalnya, maka mereka dapat dikalahkan dengan mudah.

Begitu juga dengan kehidupan, pengalaman yang diraih mampu mempersiapkan manusia untuk menghadapi ranjau kehidupan, sehingga menjadi alah bisa tegal biasa.

Bermain game sememangnya menyeronokkan, namun jangan sampai ia melalaikan dan memberi kesan buruk terhadap kesihatan. Pelajari falsafahnya, selain menghafal combo serangan game yang mengampuhkan!