Main mercun dalam gembira Ramadan – belum tentu jiran kita turut gembira!

Acara Tari Basir
Terkini oleh Tari Basir
Main mercun dalam gembira Ramadan - belum tentu jiran kita turut gembira!
Main mercun dalam gembira Ramadan - belum tentu jiran kita turut gembira! © Shailesh Nanal | Dreamstime.com

Menghormati jiran tetangga juga termasuk dalam kewajipan sebagai seorang Muslim. Hal ini kerana, setiap Muslim itu bersaudara sehingga darahnya haram ditumpahkan selagimana tiada hak yang dimilikinya.

Bahkan, menghormati jiran juga berkait rapat dengan keimanan sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim:

“Barangsiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia memuliakan jiran tetangganya. Barangsiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia memuliakan tetamunya.”

Ramadan dan mercun

Mercun merupakan lambang kegembiraan majoriti masyarakat global di dunia. Meskipun bunyinya bingit sehingga mampu membuatkan telinga berdengung, ditambah risiko kecederaan kekal seperti kehilangan jari dan sebagainya, namun ia tetap dibakar acap kali musim perayaan.

Bagi masyarakat umat Islam di Malaysia contohnya, mercun dibakar seawal satu Ramadan sehinggalah 30 Syawal. Ia hadir dalam pelbagai variasi dan nama, bahkan boleh diubah suai menjadi meriam agar lebih kuat bunyinya dan dipertandingkan antara kampung.

Dalam budaya masyarakat Cina, mercun dibakar bagi menghalau roh jahat dan menjemput rezeki. Namun persoalannya sebagai umat Islam, apakah relevannya mercun dibakar apatah lagi dalam bulan Ramadan?

Antara keseronokan bermain mercun dengan menghormati jiran

Mercun jarang dibakar di siang hari. Selalunya ia dibakar di malam hari bermula selepas berbuka puasa. Bahkan kadangkala sehingga larut malam.

Sesuai dengan bunyinya kuat lagi bingit, sudah tentu akan berlakunya pencemaran bunyi. Malam yang sepatutnya kekal hening dan sepi sehingga membangkitkan mood untuk beribadah, dicemari dengan gangguan bunyi mercun.

Malah, ada yang tanpa segan silu membakarnya di sekitar perkarangan masjid dan surau, sehingga menghilangkan kekhusyukan para jemaah yang sedang ber’Tarawih’. Bunyi kuat yang mengejut berisiko menyebabkan jemaah yang menghidapi sakit jantung menjadi pengsan atau lebih teruk lagi.

Selain itu, mercun dibakar tanpa mengira sepadat manakah kawasan kejiranannya. Bagi kawasan kampung yang rumahnya dibina berjauhan, mungkin tidak akan memberi kesan. Namun, bagi kawasan kejiranan yang padat seperti rumah teres dan sebagainya, bunyi bingit mercun cukup menganggu kejiranan.

Ada anak kecil yang terganggu tidurnya, ada yang mahu berehat terjaga daripada lelapnya, ada binatang perliharaan yang ketakutan, dan ada yang hilang kekhusyukan mahu beribadah dalam bulan Ramadan.

Salahkah bermain mercun?

Hukum bermain mercun dibahaskan kerana ia termasuk dalam hiburan. Namun, apabila mercun menzahirkan bunyi bingit yang menganggu jiran tetangga dan risiko kecederaan kepada si pemain mercun, maka ada fatwa yang mengharamkan bermain mercun disebabkan faktor tersebut.

Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mengeluarkan fatwa pengharaman mercun atas pelbagai sebab. Antaranya berlaku pembaziran yang ketara. Harga mercun kadangkalanya mampu meningkat seiring dengan kualiti bunyi dan api yang dihasilkan. Pembaziran tersebut berlaku kerana ia tidak termasuk dalam perkara yang memberi manfaat, bahkan berisiko memberi mudarat kepada diri sendiri dan orang lain.

Hakikatnya, sifat saling menghormati jiran tetangga pasti akan membawa kepada pemikiran yang waras. Adakah seseorang itu suka diganggu tatkala diri dan keluarganya mahu berehat? Adakah jiran meredhai dan rasa tidak terganggu dengan bunyi mercun tersebut?

Kerana itulah, umat Islam jangan pernah terpedaya dalam keseronokan sementara. Silap percaturan dengan malang yang tiada baunya, ia bakal membawa kepada kemudaratan yang kekal abadi.

Hormatilah jiran tetangga, nescaya anda juga akan dihormati mereka.