Main permainan puzzle jika mahu otak kembali muda dan kuat!

Kesejahteraan Mental Md Wa'iz
Md Wa'iz
Main permainan puzzle jika mahu otak kembali muda dan kuat!
Main permainan puzzle jika mahu otak kembali muda dan kuat! © Dmitry Ersler | Dreamstime.com

Semasa kecil, kita pasti pernah mempunyai sekurang-kurangnya satu set kecil permainan puzzle (teka-teki) seperti Jigsaw puzzle atau mainan susun suai gambar. Apa kata jika kita kembali memainkannya semula pada masa sekarang?

Ini kerana ia mempunyai kesan positif terhadap perkembangan otak. Kami huraikan manfaatnya di sini.

Makin kurang otak digunakan, maka ia semakin lemah

Menurut Dr. Santosh Kesari, seorang pakar neuro-onkologi berkata, otak kita sama seperti otot kita. Apabila kita kurang menggunakan, maka ia akan menjadi semakin lemah.

Menurutnya, semakin banyak kita menggunakan pelbagai bahagian dalam otak, maka semakin kuat hubungan yang wujud antara perkara yang kita lakukan, dengan bahagian otak yang bertanggungjawab terhadap perkara tersebut.

Ada kajian dari University of Exeter dan Kings College London yang membuktikan pernyataan Dr. Santosh ini. Kajian tersebut menyatakan, terdapat hubungan yang jelas antara kekerapan penggunaan puzzle perkataan dengan kelajuan dan ketepatan prestasi peserta kajian.

Ini termasuklah prestasi mereka dalam memberikan tumpuan, membuat pertimbangan dan kekuatan memori. Dalam erti kata lain, permainan puzzle membuatkan otak kita berfungsi dengan lebih baik daripada sebelumnya.

Permainan puzzle sebagai satu latihan untuk otak

Tahukah anda, dengan bermain permainan puzzle, ia boleh dianggap sebagai salah satu latihan atau senaman untuk otak anda. Ini kerana ia akan melibatkan kedua-dua bahagian otak anda ketika anda bermain puzzle.

Bahagian otak kanan anda akan bertanggungjawab membuat penilaian terhadap perkara yang melibatkan kreativiti, emosi dan gerak hati. Otak kiri pula akan menentukan sesuatu perkara berdasarkan logik dan juga objektif.

Apabila anda bermain puzzle, kedua-dua bahagian otak ini akan berkomunikasi antara satu sama lain. Ini secara tidak langsung akan meningkatkan fungsi kognitif pada otak anda.

Bukan itu sahaja, puzzle boleh bantu anda tingkatkan fokus

Adakah anda perasan, setiap kali anda bermain puzzle, anda akan memberikan tumpuan yang tinggi kerana kepingan puzzle yang agak serupa antara satu sama lain.

Mata dan otak anda akan bekerjasama mencari sedikit perbezaan yang membezakan antara satu kepingan puzzle dengan kepingan yang lain. Apabila anda kerap bermain puzzle, ia secara tidak langsung melatih otak anda untuk memberikan fokus terhadap setiap perkara walau sekecil mana hal tersebut.

Ia akan menjadikan anda seorang yang sangat berhati-hati, terperinci dan berkualiti dalam melakukan sesuatu tugasan.

Main puzzle untuk kuatkan ingatan

Apabila anda cuba menyusun puzzle, anda pasti akan mengingati setiap bentuk dan warna kepingan puzzle tersebut sambil membayangkan imej yang sepatutnya tertera. Ini bagi menentukan kedudukan kepingan puzzle tersebut bagi membentuk imej yang dikehendaki.

Apa yang anda lakukan ini sebenarnya mengasah ingatan atau memori anda untuk menjadi lebih tajam. Ini kerana anda melibatkan bahagian otak yang bertanggungjawab menyimpan maklumat terutamanya bagi memori jangka pendek.

Ambil masa untuk mula bermain puzzle

Kami telah nyatakan kepada anda beberapa manfaat bermain puzzle. Sekarang adalah giliran anda untuk mula mencari puzzle dan meluangkan sedikit masa untuk bermain dengannya.

Pasti otak anda akan kembali aktif dan menjadi lebih kuat berbanding sebelumnya.