MAIS – Syiah semakin kuat di Selangor

Kepercayaan Ahmad Mahmud 29-Jan-2020
© Juanalbertocasado | Dreamstime.com

Ajaran Syiah adalah bertentangan dengan kepercayaan Ahli Sunnah wal Jamaah (ASWJ), dengan kebanyakan negara mengisytiharkannya sebagai haram. Namun, dari semasa ke semasa, ajaran Syiah telah menjadi semakin kuat. Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) mendakwa pergerakan ajaran Syiah di Selangor telah menjadi semakin kuat dan menimbulkan kebimbangan.

Selangor juga turut mengharamkan ajaran Syiah di negeri ini. Mohammed Khusrin Munawi, Pengerusi MAIS berkata, perkara ini telah menjadi lebih teruk apabila ajaran ini tersebar melalui media sosial dan menjadikannya sukar untuk dihalang. Khusrin menambah, JAIS percaya semakin banyaknya pengikut Syiah adalah kerana bantuan pihak-pihak tertentu dalam mengembangkan aktiviti-aktiviti mereka.

Menurut Khusrin, sebelum ini apa yang boleh diihat hanya dua atau tiga pusat aktiviti ajaran Syiah di Selangor, tetapi sekarang ia semakin meningkat kepada  sekitar 14 ke 15 pusat di beberapa tempat seperti Puchong, Gombak dan Klang. Penyebaran ajaran Syiah di media sosial menjadi satu cabaran yang hebat bagi MAIS untuk membendungnya.

Perkara yang menyebabkan susahnya mengesan pengikut ajaran ini adalah kerana mereka tidak mengakui mengamalkan ajaran Syiah. Ditambah pula amalan mereka tidak banyak bezanya dengan kita di Malaysia dan majoriti dunia yang mematuhi ajaran ASWJ. Namun begitu, MAIS dan agensi berkaitan di Selangor akan terus meningkatkan usaha untuk memantau gerakan Shia dan menjelaskan bahayanya kepada orang ramai, terutamanya di sekolah-sekolah dan masjid-masjid seluruh Selangor.

Dalam isu yang berlainan, MAIS menggalakkan umat Islam di Selangor untuk mengerjakan sembahyang hajat dan doa selamat berikutan kes coronavirus baru yang telah dikesan di Malaysia. Walaupun tiada perintah rasmi dikeluarkan mengenai perkara ini, memperbanyakkan doa selamat dan bersembahyang hajat adalah amat digalakkan bagi umat Islam, khususnya dalam keadaan berwaspada menghadapi wabak coronavirus baru ini.