Majikan dan pekerja terus amal kawalan kendiri sesuai kelaziman baru

Kehidupan Ahmad Mahmud 04-Mei-2020
Menjaga jarak di tempat awam © Keechuan | Dreamstime.com

Kementerian Sumber Manusia (KSM) menggesa semua majikan dan pekerja untuk menerapkan kebiasaan atau kelaziman baru sebagai rutin harian semasa di tempat perniagaan atau tempat kerja.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan menasihati semua yang terlibat dalam mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang bermula hari ini. Rutin ini memerlukan pematuhan kepada semua langkah kawalan dan pencegahan penyakit berjangkit.

Sebahagian besar amalan-amalan normal baru ini menuntut penerusan pembudayaan cara dan prosedur yang baik seperti menyaring dan mencatat suhu tubuh pekerja ketika tiba di tempat kerja dan pulang ke rumah, dan semestinya penjarakan sosial.

Amalan-amalan yang lain termasuk menyediakan gel pembersih tangan dan sarung tangan, memakai topeng muka semasa bekerja, di samping menjaga kebersihan diri termasuk penyediaan garis panduan kesihatan dan keselamatan di tempat kerja.

Menurut M. Saravanan, KSM akan terus memperbanyakkan tindakan penguatkuasaan dan pemeriksaan ke atas tempat-tempat kerja untuk memastikan semua majikan menghormati dan mematuhi syarat prosedur operasi standard (SOP).

Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) adalah di bawah seliaan KSM seluruh negara dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) yang diberi kuasa dan tanggungjawab menjalankan tugas-tugas berkaitan.

Kerajaan tidak akan berkompromi dengan syarikat atau majikan yang lalai dan gagal melaksanakan tindakan kawalan dan pencegahan di bawah akta tersebut. Kerana pandemik COVID-19 masih belum berakhir, kesemua pihak diminta terus memberikan kerjasama dan komitmen sepenuhnya dalam mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan dengan menerapkan budaya normal baru untuk kepentingan rakyat dan negara.