Makan Jering: Asid Djenkoliknya sebabkan kencing berbau, juga keracunan!

Kesihatan Md Wa'iz
Terkini oleh Md Wa'iz
Makan Jering: Asid Djenkoliknya sebabkan kencing berbau, juga keracunan!
Makan Jering: Asid Djenkoliknya sebabkan kencing berbau, juga keracunan! © Venusangel | Dreamstime.com

Orang muda zaman kini mungkin tidak pernah merasai buah jering yang direbus dan dimakan bersama kelapa parut. Orang-orang lama pasti amat gemar dengan hidangan ini.

Namun, tahukah anda sebenarnya kita tidak boleh memakan jering dengan banyak? Ini disebabkan kandungan asid Djenkolik di dalamnya yang membuat air kencing menjadi busuk. Ini sebab mengapa jering tidak boleh dimakan tanpa had.

Kandungan asid Djenkolik dalam buah jering

Tahukah anda, dari mana datangnya bau kencing yang busuk setelah anda memakan jering? Ia disebabkan oleh kandungan sejenis asid yang disebut sebagai asid Djenkolik dalam buah jering.

Kandungan asid djenkolik ini sebenarnya bersifat toksik dan boleh menyebabkan keracunan jika ia dimakan mentah atau jika anda kurang meminum air selepas memakannya.

Buah jering yang tua mempunyai kandungan asid djenkolik yang lebih banyak berbanding buah yang lebih muda. Asid djenkolik mempunyai unsur sulfur yang menyebabkan pernafasan dan air kencing anda menjadi busuk.

Keracunan asid Djenkolik daripada buah jering

Seseorang itu berpotensi untuk mengalami keracunan asid Djenkolik sekiranya dia memakan buah jering yang mentah atau kurang masak. Ini kerana, dalam buah jering yang mentah, sebatian asid tersebut masih berada dalam keadaan yang aktif.

Namun, tidak semua orang akan mengalami keracunan seperti ini dan kes keracunan akibat memakan jering juga amat jarang berlaku. Mereka yang mempunyai asid perut yang tinggi lebih terdedah untuk mengalami keracunan.

Asid djenkolik yang bersifat tidak larut air akan menjadi butiran kristal dalam keadaan asid perut yang tinggi. Kesannya, kristal ini akan menyumbatkan buah pinggang dan salur kencing individu tersebut.

Boleh dikatakan bahawa asid djenkolik dalam buah jering ini adalah bahan toksik kepada buah pinggang manusia.

Boleh sebabkan kegagalan buah pinggang

Walaupun kes keracunan akibat memakan buah jering sangat jarang berlaku, namun ia masih boleh menyebabkan kegagalan buah pinggang kepada individu yang memakannya.

Kajian yang dijalankan oleh Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) pada tahun 2007 menyatakan berkenaan seorang pesakit yang mempunyai sakit kolik pada pinggang sebelah kiri. Pesakit tersebut juga memaklumkan bahawa dia mengalami kencing berdarah, sakit ketika membuang air kecil dan kencing yang berbau selepas sehari memakan jering.

Kesemua simptom yang dialami oleh pesakit tersebut sebenarnya menunjukkan kegagalan buah pinggang yang dialaminya.

Kajian yang dijalankan pada tahun 2014 di kawasan pedalaman Kalimantan pula melaporkan, terdapat 96 kes keracunan buah jering yang berlaku. Daripada jumlah tersebut, seramai empat orang tidak dapat diselamatkan dan menemui maut disebabkan kegagalan buah pinggang akut.

Berhati-hati ketika memakannya

Anda masih boleh memakan jering jika benar-benar menggemarinya. Namun, pastikan anda tidak memakan buah jering mentah atau buah jering yang sudah tua bagi mengurangkan risiko keracunan.

Selain itu, jangan memakannya ketika perut kosong. Masak buah ini sehingga ia benar-benar masak bagi mengurangkan kepekatan kandungan asid Djenkolik didalamnya.

Jika ibu dan bapa anda kerap memakan jering, mungkin anda boleh menasihati meraka untuk kurang memakannya selepas ini.

Enjoy Ali Huda! Exclusive for your kids.