Makan Ramen dan Lobster Roll di Tokyo, Jepun

Menjejakkan kaki ke Kota Tokyo pasti menjadi dambaan ramai ‘kaki-kaki travel‘. Kota metropolitan itu menjanjikan pengalaman percutian yang mengasyikkan yang tidak mungkin boleh dinikmati di tempat-tempat lain.

Mencari makanan halal di Tokyo bukanlah satu isu. Ini kerana banyak restoran atau kafe halal yang tersedia. Bagi yang merancang percutian ke sana dalam sedikit masa lagi, jangan lepaskan peluang ke dua lokasi selera yang menjadi pilihan rakyat Malaysia setiap kali bercuti ke Tokyo.

1) Restoran Ayam-Ya Ramen

Menikmati semangkuk Sup Ramen panas memang membahagiakan lebih-lebih lagi jika kunjungan ke Tokyo pada musim sejuk.  Restoran Ayam-Ya Ramen yang terletak di 4 Chome-10-1 Taito, Taito City, Tokyo ini sememangnya popular di kalangan pelancong Muslim. Antara menu yang boleh dicuba ialah Spicy Ramen, Tori Ramen, Noko Tori Ramen, dan Kara Age (Ayam Goreng).

Harga makanan di Ayam-Ra juga berpatutan  iaitu bermula daripada 150 Yen ke 950 Yen. Jika suka makanan pedas, sila pesan Spicy Ramen yang dihidangkan bersama hirisan ayam. Kepedasan sup Ramen ini  pasti memenuhi selera anak Melayu. Begitu juga hidangan Kara Age. Ayam goreng yang boleh dimakan bersama nasi putih ini memang lazat. Ranggup dan secukup rasa.

Satu perkara yang anda harus tahu, restoran ini menggunakan mesin layan diri untuk menempah makanan yang ingin dinikmati. Selepas membuat pesanan,  serahkan resit  bayaran kepada pelayan restoran yang sedia menunggu.  Percayalah, makanan di sini enak-enak belaka dan anda pasti mahu ulanginya semula.

2) Luke’s Lobster

Restoran ini menghidangkan the famous Lobster Roll in town! Keenakan Lobster Roll mereka menjadi menjadi buruan rakyat Malaysia setiap kali bercuti ke Jepun biarpun harganya mencecah lebih RM30.

Terdapat dua saiz yang boleh dipilih iaitu sederhana dan besar yang masing-masing berharga 980 Yen dan 1580 Yen.  Selain roll atau sandwich isi udang karang (Lobster), Luke’s Lobster juga  juga menyediakan roll isi udang atau ketam pada harga yang lebih murah.

Tentang rasa, tidak perlu dipertikaikan lagi. Sesuai dengan popularitinya. Isi udang karang sangat segar dan manis. Apabila dicampur dengan chili flake dan sos cili rasanya lebih menyelerakan. Boleh juga pesan set menu yang turut hadir bersama kentang goreng dan minuman ringan.

Tidak susah mencari Luke’s Lobster di Tokyo kerana ada enam cawangan ke semuanya.

Kredit foto : 123rf & Rahayu Mat Nah