Makanan Arab semakin popular di Malaysia

Selera Hanita Hassan 01-Jul-2020
Penyediaan roti tradisional Arab © Dmitrii Melnikov | Dreamstime.com

Makanan Arab semakin popular dalam kalangan orang Melayu di Malaysia.  Ia mempunyai keunikan tersendiri.  Banyak restoran Arab yang terkenal di negara ini menampilkan pelbagai jenis nasi Arab serta menyajikan makanan pembuka selera, pencuci mulut dan hidangan penutup yang enak dan menyelerakan.

Nasi Arab biasanya dihidang bersama kambing atau ayam.  Pilihan ayam ada dua jenis iaitu  barbeku atau  panggang. Tidak kurang juga yang disajikan bersama dengan ikan.  Dua jenis nasi yang terdapat di restoran Arab ialah nasi Khabsa dan nasi Mandy.  Nasi Mandy berwarna kuning, manakala Khabsa pula berwarna perang kemerahan.

Bagi yang baharu berjinak-jinak mahu mencuba hidangan nasi Arab, jangan terperanjat kerana ia tidak dihidangkan dengan kuah atau gulai.  Tradisi orang Melayu biasanya makan nasi dengan beserta kuah yang banyak. Walau bagaimanapun, nasi Arab dihidang kering bersama kambing, ayam atau ikan dan dimakan dengan sambal tomato dan salsa.

Biasanya kita boleh memilih saiz hidangan sama ada kecil, sederhana mahupun besar.  Meskipun tidak berkuah, ia tetap enak dimakan bersama hidangan sampingannya. Selain nasi Mandy dan Khabsa, kita juga boleh mencuba hidangan nasi putih yang dimasak bersama sup ayam atau daging dan susu.  Nasi ini digelar Saleeg.  Ia seakan-akan hidangan Itali iaitu risotto atau bubur nasi.

Saleeg popular di sekitar bandar Taif, malah terkenal di seluruh Arab.  Bahannya mudah tetapi memerlukan masa sehingga satu jam untuk menyiapkan hidangan ini.  Saleeg bermaksud mendidih dalam perkataan Arab.  Kesemua bahan direbus sekali.  Rasa rempahnya begitu kuat kerana menggunakan daging, susu, stok dan mentega dalam hidangan ini.

Makanan ini dihidang bersama ayam panggang. Ayamnya lembut serta mudah dimakan terutama oleh kanak-kanak.  Hidangan ini menjadi kegemaran terutama menjelang musim sejuk.

Jika di Malaysia kita mempunyai samosa, tidak terkecuali dalam masyarakat Arab.  Ia dikenali dengan nama Samboosa.  Hidangan ini berbentuk segitiga diperbuat daripada kulit yang garing serta rangup di bahagian luarnya.  Intinya terdiri daripada daging kambing, lembu atau ayam cincang yang digoreng atau panggang.

Samboosa turut dicampurkan dengan telur, keju serta sayuran seperti lobak merah, kentang dan kacang buncis. Hidangan ini enak dimakan bersama sup lobak merah atau shorbah adas atau sup kacang lentil.  Samboosa biasanya dihidang pada waktu minum petang atau sebagai makanan pembuka selera.

Roti dan makanan Arab juga sinonim.  Jika kita mempunyai hidangan roti Naan, masyarakat Arab pula terkenal dengan roti yang digelar Tamis.  Saiz roti ini agak besar iaitu sebesar dulang.  Ia boleh dimakan bila-bila masa tetapi bagi masyarakat Arab ia dimakan semasa sarapan pagi.

Beberapa jenis Tamis dihidangkan iaitu yang disapu dengan air gula serta bijan dan tamis keju.  Tamis biasa dimakan bersama Mushakkal iaitu kuah kari kacang kuda yang dikisar dan dicampur dengan lada hitam serta taburan keju di bahagian atas kuah.  Harga kuah tamis agak mahal berbanding roti tamis kerana ia dijual berasingan.

Bagi penggemar hati lembu, Tamis boleh dinikmati bersama Khibdah (hati lembu) yang dicincang dan dimasak bersama tomato serta bawang putih yang dipotong dadu.  Sedikit perasa lada hitam turut dimasukkan untuk memberi rasa pedas.

Banyak lagi makanan Arab yang sedap dan enak untuk dinikmati.  Pilihlah mana yang sesuai dengan selera dan kemampuan masing-masing.

Ingin berkata sesuatu?

Sila berhubung!