Makanan dan Allah SWT – adab Muslim ketika makan

Makanan Hanita Hassan 01-Okt-2020
makandengankawan
Makanan dan Allah SWT - adab Muslim ketika makan © zomato.com

Setiap perkara yang kita lakukan sehari-hari semuanya mempunyai adab yang perlu diikuti.  Begitu juga apabila kita di hadapan makanan.  Sikap kita semasa makan menunjukkan akhlak diri. Bersederhana ketika makan amat baik kerana perut tidak dapat menampung kesemuanya dalam satu masa.

Apabila kita makan secara beradab mengikut panduan syarak, maka Allah SWT akan mengurniakan keberkatan-Nya. Panduan yang paling baik untuk kita contohi ialah mengikut cara makan Rasulullah SAW.

Adab dan berkat cara makan Rasulullah SAW

Baginda semasa mengadap hidangan akan mendahulukan di sebelah tepi sebelum mengambil yang tengah. Daripada Ibn Abbas r.a, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Keberkatan turun di tengah makanan maka kamu makanlah terlebih dahulu dari kedua tepinya dan janganlah kamu makan dari tengahnya.”

(Hadis riwayat Abu Daud dan at-Tirmizi, katanya Hadis Hasan Sahih)

Semasa di meja makan, kita hendaklah dalam keadaan tenang.  Elakkan diri daripada berasa tamak dan gelojoh.  Sepertimana firman Allah SWT yang bermaksud:

“Makanlah dan minumlah. Janganlah berlebih-lebihan.  Sesungguhnya Allah tidak suka orang yang berlebihan.”

(Surah Al-Araf, ayat 31)

Sebelum makan, elok kita berkumur-kumur terlebih dahulu, mencuci tangan kemudian duduk dengan sopan dan membaca ‘Basmalah’ dan doa makan.

Rasulullah SAW juga pernah menasihati seseorang tentang perihal makan.  “Wahai anak muda, sebutlah nama Allah (bismillah), makanlah dengan tangan kananmu dan makanlah daripada apa-apa yang dekat denganmu.”  (HR al-Bukhari dan Muslim)

Dalam riwayat lain, disebutkan bahawa suatu ketika Rasulullah SAW pernah tersenyum seraya menjelaskan.  Sekiranya seorang muslim tidak membaca Basmalah sebelum makan, maka syaitan akan ikut makan dengannya.  Namun, sekiranya dia teringat dan menyebut nama Allah SWT, maka syaitan pun langsung memuntahkan makanan yang sudah dimakannya.

Sopan dan bersyukur, makan yang halal secukupnya

Makanlah menggunakan tangan kanan, tidak bersandar, mengambil makanan terdekat, makan ketika lapar dan berhenti sebelum kenyang.  Setelah selesai, maka ucapkan Alhamdulillah.

Daripada Abu Hurairah r.a,  Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Jika salah seorang di antaramu makan, maka hendaklah ia menjilat jari-jemarinya sebab ia tidak mengetahui dari jemari mana munculnya keberkatan.”

(HR Muslim)

Dalam hadis riwayat Imam Muslim pula, Ka’ab bin Malik r.a memberikan kesaksian bahawa dia pernah melihat Rasulullah SAW makan menggunakan tiga jarinya dan baginda menjilatnya sebaik sahaja selesai makan.

Kita juga tidak digalakkan makan dengan kuantiti yang terlalu banyak atau dilihat gelojoh.  Selain itu, elakkan banyak bercakap ketika makan untuk mengelakkan makanan terkeluar dan sikap yang tidak sopan.

Allah SWT memberi rezeki untuk dimakan dan diminum.  Makanlah dengan ahli keluarga dan sahabat taulan. Usah makan bersendirian. Ini kerana makan secara berjemaah akan dapat mengukuh silaturahim dan menambah keberkatan makanan.

Kita juga disuruh makan dan minum benda-benda yang halal sahaja.  Sepertimana firman Allah SWT dalam al-Quran yang bermaksud:

“Wahai sekalian manusia!  Makanlah daripada apa yang ada di bumi yang halal lagi baik dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan kerana sesungguhnya syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu.”

(Surah al-Baqarah, ayat 168)