Makanan halal dan menarik di Shanghai

Makanan Chan Abdullah 11-Jun-2020
Sebuah restoran halal di Shanghai, China © Imran Ahmed | Dreamstime.com

Bandar Raya Shanghai terletak di tebing Delta Sungai Yangtze di China Timur. Bandar raya Shanghai ialah bandar raya terbesar Republik Rakyat China dan merupakan bandar raya yang kelapan terbesar di dunia. Bandar raya ini juga bertindak sebagai salah satu pusat kebudayaan, perdagangan, kewangan, perindustrian, dan komunikasi yang terpenting di China.

Jika anda berpeluang berkunjung ke bandar raya Shanghai ini, jangan risau tentang kesukaran mendapatkan bekalan makanan halal. Terdapat pelbagai lokasi yang menyediakan makanan halal di sini. Anda boleh memilih pelbagai jenis menu tempatan yang halal serta aneka makanan jalanan Cina yang tidak berkesudahan.

Berikut adalah lokasi-lokasi makanan halal yang boleh anda cuba di Shanghai:

Restoran Huifenglou Muslim – Restoran ini dikatakan telah wujud lebih dari 100 tahun. Selain menyediakan makanan halal, restoran ini turut menyediakan bilik solat bagi memudahkan para pelanggan menunaikan ibadah solat sewaktu menjamu selera.

Antara menu yang dicadangkan untuk dicuba di restoran ini ialah yangrou (hirisan daging kambing), xiong zhang dou fu (tauhu yang dimasak dengan cara tempatan) dan juga yinsijuan (sejenis roti). Restoran ini terletak di M-Building, No. 1088, Lujiabang Road, Huangpu District, Shanghai.

Pasar Makanan Muslim Shanghai – Bagi anda yang menggemari aneka makanan jalanan, anda pastinya tidak mahu melepaskan peluang untuk mengunjungi lokasi ini. Pasar Makanan Muslim Shanghai ini beroperasi di sekitar Masjid Huxi yang terletak di Changde Road.

Antara menu yang patut dicuba di sini ialah nasi pilaf, ladu, kambing barbeku dan liangpi (sejenis mee sejuk). Pasar makanan ini terletak di 1328 Changde Road, Putuo District, Shanghai.

Restoran Hong Chang Xing – Restoran ini sudah wujud sejak tahun 1891 lagi. Ianya adalah antara restoran halal tertua yang wujud di Shanghai.

Antara menu popular yang perlu anda cuba di sini ialah daging kambing dengan sos istimewa. Daging kambing ni dimasak dengan periuk tembaga dan dibakar menggunakan arang. Lokasi restoran ini terletak di No. 1 Yunnan South Road, Huangpu District, Shanghai.

Dengan perkongsian lokasi makanan halal di Shangai ini, tidak perlulah anda risau mencari makanan halal apabila berkunjung ke Shanghai suatu hari nanti, insya-Allah.