Makanan ruji Malaysia – Nasi Goreng yang pelbagai

Makanan Hanita Hassan 04-Okt-2020
dreamstime_s_134492700
Makanan ruji Malaysia - Nasi Goreng yang pelbagai © Sitriel | Dreamstime.com

Nasi adalah makanan ruji bagi rakyat Malaysia.  Sejak kecil kita diperkenalkan dengan nasi sewaktu sarapan pagi, makan tengah hari dan makan malam.  Tiada satu hari pun hidup kita tanpa nasi.  Ia sudah sebati dalam diri sehingga jika sehari tidak menjamah nasi terasa ada yang tidak lengkap hari itu.

Biasanya pada cuti hujung minggu, bagi wanita berkerjaya akan cuba menyediakan makanan paling ringkas supaya tidak terlalu sibuk di dapur.  Cuti adalah waktu untuk bersama suami dan anak-anak, mengemas rumah serta melihat tanaman di laman.

Pelbagai Nasi Goreng – hidangan ringkas, sedap dimakan

Waktu hari bekerja anda tidak berkesempatan untuk melakukan semua yang dilakukan oleh suri rumah tangga di rumah.  Hidangan paling ringkas tetapi mengenyangkan sehingga petang ialah nasi goreng.  Ia mudah dan menjadi kesukaan seisi keluarga. Anda boleh menggunakan nasi semalam yang tidak habis dimakan.

Nasi goreng sedap jika dimakan panas-panas bersama cili jeruk atau telur goreng.  Ia bukan sahaja sesuai untuk hidangan orang bujang tetapi juga yang sudah berkeluarga.  Ia sangat mudah dan tidak memerlukan kemahiran yang tinggi.  Anda cuma perlu sediakan bahan-bahannya mengikut kesukaan anda.  Kemudian panaskan kuali dengan sedikit minyak dan mula menggoreng semua bahan tadi.

Mulakan dengan bawang kisar atau bawang hiris, cili jika perlu, ayam, sotong, udang atau bahan lain mengikut kesukaan anda. Goreng hingga masak.  Akhir sekali masukkan sayur, nasi dan bahan perisa.  Gaul sebati sehingga nasi melompat-lompat di dalam kuali.  Keluarkan dalam mangkuk dan sedia untuk dimakan.

Sekiranya anda tidak sempat makan di rumah dan ingin menghabiskan waktu bersama keluarga di luar, pelbagai pilihan nasi goreng ditawarkan di gerai-gerai atau restoran.  Antara yang popular ialah Nasi Goreng Cina, Nasi Goreng Tom Yam, Nasi Goreng Udang, Nasi Goreng Kampung, Nasi Goreng Ayam Kunyit dan banyak lagi.

Paling penting pemilihan kedai mestilah halal dan mempunyai logo yang disahkan oleh jabatan agama.

Pastikan halal demi keberkatan dalam kehidupan

Firman Allah SWT dalam al-Quran yang bermaksud:

“Wahai sekalian manusia, makanlah dari apa yang ada di bumi, yang halal lagi baik dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan, kerana sesungguhnya syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu.”

(Surah al-Baqarah, ayat 168)

Tanda kasih sayang Allah SWT kepada hamba-Nya yang beriman maka diulang-ulang ayat tentang peringatan makan yang halal lagi baik diikuti dengan perintah bertakwa kepada-Nya.

Halal itu jelas dan nyata serta haram pun jelas dan nyata.  Sepertimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Sesungguhnya halal itu nyata dan haram itu juga nyata, tetapi antara kedua-duanya ada perkara-perkara musytabihat (kesamaran) yang tidak diketahui oleh kebanyakan orang…”

(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Barangan tanpa logo halal belum tentu halal.  Begitu juga dengan restoran atau kedai makan yang tidak mempunyai logo halal sah dan diiktiraf kerajaan tidak sepatutnya menjadi pilihan umat Islam.

Justeru mencari yang halal itu adalah wajib bagi setiap umat Islam kerana banyak kebaikan, pahala dan keberkatan dalam kehidupan umat Islam.  Semoga bermanfaat.