Makanan salai aroma istimewa

Makanan Hanita Hassan 25-Jun-2020
Daging salai! © facebook.com/ZainiSalaiHouse/

Salai ialah teknik mengawet makanan supaya tahan lebih lama. Kaedah salai mendedahkan makanan pada asap daripada bahan yang terbakar atau membara. Bahan yang digunakan untuk menyalai ialah kayu api. Jenis kayu api juga akan menerbitkan aroma berbeza kepada daging atau ikan yang disalai.

Proses penyalaian berlaku melalui dua mekanisme iaitu apabila berlakunya penyahidratan kepada bahan yang disalai dan sifat-sifat anti bakteria daripada asap yang diserap. Makanan salai yang popular adalah berasaskan daging dan ikan.

Selain makanan berasaskan protein, kaedah ini juga boleh digunakan ke atas makanan lain. Antaranya seperti keju dan sayur serta air juga boleh disalai bagi meningkatkan rasa makanan tersebut.

Jika disingkap sejarah salai, kaedah ini telah dilakukan sejak zaman prasejarah. Kebanyakan ladang yang beroperasi di Barat memiliki rumah asap sendiri. Ini memudahkan daging peliharaan mereka disalai dan disimpan.

Biasanya rumah asap terletak agak jauh daripada bangunan lain di ladang untuk ciri-ciri keselamatan bagi mengelakkan  kebakaran dan asap.

Kayu api yang digunakan adalah dari jenis kayu getah kerana mudah diperoleh. Berbeza di luar negara, kayu api yang digunakan adalah dari jenis oak dan hickory kerana ia mengandungi ‘lignin’ yang akan memberi rasa serta aroma kepada daging yang disalai.

Walau bagaimanapun kayu api terbaik untuk digunakan semasa salai ialah daripada jenis keras kerana dapat memberi tempoh pembakaran yang lebih lama. Bagi mendapatkan hasil salai yang lazat dan lembut, keseluruhan bahagian perlu disalai sekata dalam tempoh 12 hingga 24 jam.

Di Malaysia khususnya di Negeri Sembilan, makanan salai berasaskan daging lembu, ayam, itik, burung puyuh dan ikan keli mendapat permintaan yang tinggi. Bagi anda yang menggemari makanan berasaskan salai, gerai-gerai yang terdapat di sepanjang jalan utama Kuala Pilah-Seremban dan Pedas-Linggi boleh mengisi selera anda.

Sebaik sahaja memasuki kawasan ini, anda sudah boleh menghidu bau asap daripada kayu api yang menyalai setiap lauk yang dihidang. Bau asap yang terdapat pada makanan salai ini membangkitkan selera. Di sini, anda ditawarkan dengan pelbagai jenis hidangan. Menu popular dan tetap ialah masak lemak cili api.

Kuahnya berwarna kuning dengan campuran santan dan rasanya agak pedas.  Anda perlu sediakan air yang banyak sekiranya tidak biasa menikmati makanan pedas. Masak lemak cili api adalah paling sesuai untuk masakan makanan berasaskan salai bagi menyingkirkan rasa hanyir pada makanan yang disalai.

Ramuannya mudah kerana ia hanya menggunakan cili api, kunyit dan bawang. Kesemua bahan ini dikisar dan dimasukkan ke dalam periuk.  Anda perlu tambah air dan asam keping dan biarkan mendidih.

Apabila kuah anda telah mengeluarkan bau pedas daripada cili api, inilah masanya untuk anda masukkan ramuan yang lain seperti santan dan bahan salai.  Bagi menyedapkan lagi masakan, anda boleh menambah daun limau purut ke dalam masakan.

Kuah hendaklah dikacau sentiasa supaya santan tidak pecah.  Anda juga boleh menambah sayur seperti bendi atau terung dan belimbing buluh ke dalam kuah bagi meningkatkan rasanya. Biarkan sayur empuk dan sedia untuk dimakan bersama dengan nasi panas.  Selamat mencuba.