Makanan sunah dan makan mengikut sunah

Makanan Sihat 16 Apr 2021 Siti Suriani Othman
Terkini oleh Siti Suriani Othman
Makanan sunah dan makan mengikut sunah
Makanan sunah dan makan mengikut sunah © MOHD AZAMI SARJU | Dreamstime.com

Terdapat beberapa pilihan makanan yang telah dipuji oleh Nabi Muhammad SAW. Di bulan Ramadan ini, pastinya Kurma adalah yang paling popular. Namun, selain daripada kurma, ada makanan lain yang tidak kurang hebatnya.

Konsep makanan sunah dalam pespektif Islam dan pengetahuan tentang makanan sunah amat penting bagi umat Islam. Tujuannya adalah bagi memastikan ada jaminan terhadap kesihatan serta aktiviti makan itu sendiri mengundang pahala yang besar.

Makanlah mengikut sunah, agar terjamin kesihatan

Pengetahuan tentang makanan sunah bukan sahaja mengenai  jenis makanan sunah yang disebutkan dalam al-Quran. Apa yang perlu diketahui juga adalah khasiatnya dan manfaatnya, serta kelebihannya dalam membendung atau mengurangkan risiko penyakit.

Antara makanan sunah yang terkenal adalah kurma, susu kambing, delima dan madu lebah. Tidak dinafikan begitu banyak khasiat makanan ini yang tersedia untuk manusia.

Madu lebah misalnya merupakan satu-satunya makanan yang memiliki semua komponen keperluan makanan manusia seperti enzim, vitamin, ineral, dan pinocembrin yang berupaya meningkatkan fungsi otak. Maka tidak hairan madu lebah diiktiraf sebagai ibu segala makanan.

Firman Allah Taala:

“Kemudian makanlah daripada setiap macam buah-buahan dan tempuhlah jalan Tuhanmu yang telah dimudahkan. Daripada perut lebah itu keluar minuman madu yang bermacam-macam warnanya, di dalamnya terdapat ubat menyembuhkan bagi manusia. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda kebesaran Tuhan bagi orang yang memikirkan.”

(Surah An-Nahl, ayat 69)

Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam juga ada berpesan agar seseorang itu berubat dengan madu dan al-Qur’an, Baginda bersabda:

“Ambillah/pergunakanlah olehmu sekalian akan dua ubat penyembuh iaitu madu dan al-Qur’an.”

(Hadis riwayat Ibnu Majah)

Pastikan makan juga mengikut sunah

Selain itu, wajar bagi umat Islam mempertimbangkan untuk bukan sahaja mengamalkan makanan sunah dalam menu harian mereka tetapi juga memastikan aktiviti makan sekeluarga sentiasa mengikut sunah Rasulullah SAW. Misalnya, elakkan pembaziran makanan dan mengikut adab makan dalam Islam.

Antaranya ialah makan dengan tangan kanan, makan dengan berpada-pada, makan dengan duduk dan tidak berdiri, makan dengan rasa rendah diri dan berbicara soal yang baik ketika makan.

Menurut al-Hafidz dan Syaikhul Islam Ibn al-Qayyim, pendapat yang benar ialah Nabi Muhammad SAW bercakap dan berbual semasa makan. Dalam kitabnya al-Zaad:

“Ada kalanya Nabi Muhammad SAW bertanya apakah menu pada hari ini dan memuji menu tersebut.”

(Hadis riwayat Muslim)

 

“Dan ada kala Nabi Muhammad SAW mengajar adab dan susila makan kepada kaum keluarganya, ada ketika Nabi sentiasa menggalakkan tetamu beliau supaya menambah lauk-pauk dan minuman.”

(Hadis riwayat al-Bukhari)

Namun, bercakaplah dengan berkadaran dan bukan dalam keadaan mulut yang penuh dengan makanan sehingga tercekik dan merosakkan majlis makan tersebut.