Makanan Sunnah Dan Tahan Lama Untuk Bersahur

Apakah juadah bersahur anda hari ini? Set nasi putih dengan aneka lauk-pauk yang enak? Roti putih bersalut telur? Biskut kering cicah bersama air coklat panas? Atau sekadar mi segera bersama air kosong?

Setiap orang mempunyai juadah kegemaran pilihan masing-masing. Mungkin ada yang berasa kenyang cukup dengan sekadar meminum air coklat panas. Mungkin ada juga yang perlu menjamah nasi untuk mengelakkan perut meragam pada waktu siang.

Tidak kiralah apa jua pilihan anda, apa kata pada Ramadan kali ini, kita sama-sama latih diri untuk bersahur dengan makanan-makanan sunnah.

Selain mendapat pahala kerana mengamalkan sunnah Nabi Muhammad S.A.W., makanan-makanan sunnah juga mengandungi pelbagai khasiat pemakanan yang kaya dengan protein, serat dan karbohidrat serta manfaat kesihatan yang lain.

Jangan terkejut apabila waktu siang hari anda tidak lagi berlakunya situasi perut berbunyi dengan kuat pada waktu tengahari kerana khasiat dan hikmah makanan sunnah adalah tidak ternilai.

Berikut kami senaraikan beberapa makanan sunnah yang boleh dinikmati ketika bersahur:

1) Kurma

Memang tidak dapat dinafikan lagi makanan terbaik untuk bersahur adalah buah kurma. Nabi Muhammad S.A.W. bersabda yang bermaksud: “Sebaik-baik sahurnya mukmin itu adalah dengan tamar.” (Riwayat Abu Daud)

Kurma kaya dengan pelbagai nutrien pemakanan yang diperlukan oleh badan seorang manusia normal, termasuklah zat besi. Dengan hanya memakan 100g kurma sehari, anda telah mengambil 11% pengambilan zat besi yang diperlukan badan.

Nutrisi lain yang terdapat dalam kurma termasuk vitamin A dan C, zat besi, fosforus, potassium, sodium, kalsium dan serat. Selain itu, jika anda memakan buah kurma ketika bersahur, ia boleh membekalkan tenaga yang berterusan kerana kurma mengandungi glukosa.

Justeru, anda akan kekal bertenaga untuk sepanjang hari, dan boleh melakukan aktiviti harian seperti kebiasaan tanpa berasa letih atau lapar.

 

2) Madu

Rasullullah S.A.W. pernah berpesan dalam hadis yang bermaksud: “Ambillah (yakni gunakanlah) olehmu sekalian akan dua ubat penyembuh, iaitu madu dan al-Quran.” (Riwayat Ibnu Majah).

Ayat ini jelas menunjukkan bahawa madu merupakan makanan sunnah yang boleh meyembuhkan penyakit kerana mempunyai pelbagai manfaat kesihatan.

Ia mengandungi flavonoid dan antioksida yang tinggi yang boleh membantu mencegah kanser dan penyakit hati. Jika ia diambil secara konsisten dengan sukatan yang betul, ia boleh mencegah sakit jantung, tekanan darah tinggi, demam dan melancarkan peredaran darah. Justeru, ia bukan hanya sesuai untuk diambil ketika bersahur, malah untuk sepanjang masa. Anda boleh memilih sama ada untuk mencampurkannya ke dalam makanan dan minuman untuk berfungsi sebagai pemanis semula jadi, atau boleh makan begitu sahaja.

3) Susu kambing

Bagi minuman pula, apa kata anda amalkan meminum susu kambing kerana ia mengandungi 1,001 nutrisi lengkap termasuk vitamin, mineral, protein dan lemak penting yang membantu pertumbuhan jaringan otak, enzim dan neurotransmiter terbaik serta membekalkan tenaga yang cukup kepada otak kita.

Dengan hanya segelas susu kambing ketika bersahur, ia mampu memberikan rasa kenyang yang lebih lama kerana kandungan protein yang terdapat di dalamnya. Ia juga mengandungi kalsium dan sejumlah vitamin yang diperlukan tubuh serta membantu menguatkan daya tahan tubuh ketika berpuasa.

 

4) Buah Labu

Buah labu memiliki kandungan air yang sangat banyak iaitu sehingga 97%. Kandungan air yang banyak ini amat berguna untuk memastikan tubuh kita kekal hidrat sepanjang berpuasa pada siang hari.

Selain itu, labu juga dapat membantu menurunkan tekanan darah, meningkatkan kualiti tidur serta dapat membuatkan anda berasa lebih rileks dan santai ketika berpuasa dalam tempoh yang lama.

5) Buah zaitun

Pengambilan buah zaitun ketika waktu sahur dapat memberikan kesan positif dalam darah kerana ia dapat meningkatkan kadar zat besi serta memastikan tenaga yang lebih konsisten selain menjadikan sistem imunisasi tubuh menjadi lebih baik.

Justeru, pengambilan buah zaitun ketika waktu sahur dapat membantu mengurangkan rasa lemah, lesu dan letih ketika berpuasa sepanjang hari.

Foto: Chinh Le Duc, Elliot Banks, Levi Guzman, Marius Ciocirlan, Roberta Sorge dan Mona Mok daripada Unsplash