Maksud dan perbezaan antara hukum Faraid, Wasiat dan Hibah

Islam untuk Pemula 01 Mac 2021 Md Wa'iz
Terkini oleh Md Wa'iz
Maksud dan perbezaan antara hukum Faraid, Wasiat dan Hibah
Maksud dan perbezaan antara hukum Faraid, Wasiat dan Hibah © Yakim19 | Dreamstime.com

Ramai yang sering terkeliru antara hukum Faraid, Wasiat dan juga Hibah. Tidak kurang juga ada yang menganggap bahawa hukum faraid dan juga wasiat itu adalah sama.

Mari baca perbezaan antara ketiga-tiga instrumen kewangan Islam ini.

Maksud hukum-hukum Faraid, Wasiat dan Hibah

Maksud Faraid

Daripada segi istilah syarak, Faraid adalah pembahagian harta peninggalan seorang individu Islam yang telah meninggal dunia kepada warisnya yang layak. Pembahagian ini akan dibahagikan mengikut hukum Islam kerana Islam telah menetapkan jumlah yang patut diterima oleh setiap waris.

Harta yang dibahagikan itu pula adalah harta baki setelah dibayar segala hutang, pembiayaan jenazah dan juga wasiat.

Secara umumnya, harta yang boleh difaraidkan adalah seperti berikut:

  • Bangunan seperti rumah kediaman atau kedai
  • Tanah
  • Barangan kemas
  • Insurans dan wang tunai
  • Binatang ternakan

Hukum faraid ini hanya tertakluk kepada waris yang beragama Islam sahaja, jika si mati ada meninggalkan ahli keluarga yan bukan beragama Islam, maka mereka tidak layak untuk menerima harta daripada hukum faraid.

Maksud Wasiat

Wasiat pula bermaksud sebarang pemberian atau sumbangan kepada orang dan pihak lain yang dilaksanakan setelah pemiliknya meninggal dunia. Wasiat ini dijalankan atau ditunaikan mengikut kehendak si mati ke atas hartanya sebelum dia meninggal dunia.

Namun, wasiat yang hendak ditunaikan perlulah untuk tujuan kebajikan atau sebarang tujuan lain yang dibenarkan oleh syarak. Jika hukum faraid hanya diberikan kepada waris si mati sahaja, wasiat pula boleh diberikan kepada individu selain keluarga si mati atau mana-mana pihak atau oganisasi yang dinginkan.

Wasiat juga boleh diberikan kepada waris yang bukan beragama Islam atau mana-mana individu lain yang bukan beragama Islam. Namun, Islam menyatakan bahawa harta yang hendak diwasiatkan tidak melebihi ⅓ daripada keseluruhan harta. Ini untuk memastikan agar ada harta yang ditinggalkan kepada waris yang layak.

Maksud Hibah

Hibah pula adalah satu pemberian harta daripada pemilik harta kepada individu atau pihak lain yang dilakukan secara sukarela. Berbeza dengan harta faraid dan wasiat yang hanya ditunaikan selepas pemilik meninggal dunia, hibah dilakukan sendiri oleh pemilik semasa dia masih hidup.

Pemberian hibah ini juga adalah sebagai satu bentuk hadiah tanpa meminta atau mengharapkan balasan kecuali balasan daripada Allah Taala.

Hibah diberikan sebagai satu tanda kasih sayang. Hibah juga boleh diberikan kepada ahli keluarga atau individu lain yang bukan beragama Islam.

Perbezaan utama antara hukum Faraid, Wasiat dan juga Hibah

Sebagai kesimpulan, ada tiga perbezaan utama yang boleh dilihat daripada ketiga-tiga instrumen kewangan Islam ini.

Pertama, harta faraid hanya boleh diberikan kepada waris yang layak sahaja, manakala wasiat dan hibah boleh diberikan kepada sesiapa sahaja.

Kedua, faraid hanya boleh diberikan kepada waris yang beragama Islam sahaja. Waris yang bukan beragama Islam tidak layak menerima faraid tetapi mereka boleh menerima wasiat dan juga hibah.

Ketiga, harta faraid dan wasiat hanya boleh ditunaikan setelah pemilik harta meninggal dunia. Namun harta hibah boleh dilakukan sewaktu pemilik harta masih hidup. Wallahu’alam.