Malaikat sujud kepada Nabi Adam a.s

Agama Zalina Majid 27-Jul-2020
Bukit Arafah, Mekah - lokasi Jabal Rahmah, tempat Nabi Adam a.s dan Hawa a.s bertemu © by Sulthan Auliya on Unsplash

Para Malaikat dan Nabi Adam alaihissalam adalah dua makhluk ciptaan Allah SWT yang ternyata berbeza kejadiannya. Diciptakan malaikat daripada cahaya dan mereka beribadat kepada Allah malam dan siang tanpa henti. Manakala Nabi Adam a.s adalah manusia pertama yang diciptakan daripada tanah.

Diriwayatkan oleh Imam Muslim (hadis no. 2996) daripada Aisyah r.a beliau berkata: “Rasulullah SAW telah bersabda: “Malaikat telah diciptakan daripada cahaya, jin pula diciptakan daripada nyalaan api yang sangat panas, manakala Adam a.s pula diciptakan daripada apa yang telah disifatkan kepada kamu semua…”

Malaikat tidak pernah mendahului Allah SWT serta mengingkari-Nya. Hal ini kerana penciptaan mereka adalah semata-mata untuk mentaati, beribadah dan bertasbih kepada Allah. Walaupun para malaikat ada bertanya tentang hikmah perlantikan Adam alaihissalam sebagai khalifah.

Pertanyaan mereka kepada Allah melalui firman-Nya: “Adakah Engkau (Wahai Tuhan Kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa dengan memuji-Mu dan mensucikan-Mu?”(Surah al-Baqarah, ayat 30)

Pertanyaan mereka adalah bertujuan untuk mendapatkan ilmu dan pengetahuan dan bukanlah bermaksud mengingkari-Nya. Allah Maha Berkehendak untuk memuliakan makhluk ciptaan-Nya itu. Maka, apabila sempurna penciptaan Adam a.s, Allah SWT memerintahkan para malaikat untuk sujud kepadanya. Justeru sujudnya mereka kepada Adam adalah tanda mereka sangat taat beribadah kepada Allah tanpa berbelah bagi.

Tulisan Dr. Salah Abdul Fattah al-Khalidi menyebutkan bahawa firman Allah SWT dalam surah Saad, ayat 71-73 terdapat kalimah فَقُعُوْا لَهُ سَاجِدِيْن menunjukkan kaedah sujud yang diperintahkan kepada mereka. Ia menjelaskan bahawa sujud tersebut ialah sujud hakiki sepertimana sujud Allah di dalam solat dengan tujuh anggota badan. (Terjemahan kitab Oh! Begitu Rupanya Kisah Adam: Cerita Sahih Dari Langit)

Sesungguhnya para malaikat telah sujud kepada Nabi Adam alaihissalam dengan menundukkan kepala mereka di atas tanah. Zahirnya sujud mereka itu sama sepertimana kita sujud di dalam solat.

Sujud mereka kepada Nabi Adam a.s adalah tanda memuliakan dan meraikan baginda serta mengiktiraf kedudukan juga kelebihan yang dikurniakan kepadanya. Meskipun demikian, sujud tersebut bukanlah sujud tanda menyembahnya kerana sujud sembahan hanya khusus kepada Allah Yang Maha Mencipta.

Ibadah para Malaikat kepada Allah SWT ibadah yang juga mengikut fitrah. Mereka tidak mempunyai sebarang kehendak mahupun pilihan. Semestinya Allah telah menetapkan kepada mereka dengan sebegitu rupa. Sementara kita sebagai manusia melakukan konsep yang sama iaitu terus beribadah kepada Allah SWT dengan berbuat kebaikan dan meraih pahala.