Malam Lailatul Qadar, lebih baik daripada 1000 bulan

Islam untuk Pemula 01 Mei 2021 Hannan
Pilihan oleh Hannan
Malam Lailatul Qadar, lebih baik daripada 1000 bulan
Malam Lailatul Qadar, lebih baik daripada 1000 bulan © Peerapat Lekkla | Dreamstime.com

Malam Lailatul Qadar merupakan malam penuh rahmat yang dikenali juga dengan nama malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Malam ini merupakan malam istimewa yang berada di dalam 10 hari terakhir Ramadan.

Firman Allah SWT di dalam surah Al-Qadr, ayat 1-3 yang bermaksud:

“Sesungguhnya kami telah menurunkannya (al-Quran) pada malam kemuliaan. Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu? Malam kemuliaan itu lebih baik daripada seribu bulan.”

(Surah Al-Qadr, 1-3)

Malam Lailatul Qadar, lebih baik daripada 1000 bulan

Pada waktu ini, umat Islam amat digalakkan untuk melipat gandakan amalan masing-masing. Menurut para ulama, sebaik-baik amalan soleh adalah pada malam Lailatul Qadar di mana ia lebih baik daripada beribadat selama seribu bulan.

Malah, amalan seperti membaca Al-Quran juga amat sinonim dengan bulan Ramadan. Pada bulan ini jugalah Al-Quran diturunkan sebagai rahmat untuk sekalian manusia.

Amalan berpuasa dan malam Lailatul Qadar

Ramadan merupakan bulan yang amat istimewa untuk umat Islam. Malah, kedatangannya ditunggu-tunggu oleh segenap manusia di seluruh dunia. Tanpa amalan puasa, tidak lengkaplah rukun Islam kita.

Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud:

“Barang siapa yang berpuasa Ramadan kerana iman dan mengharapkan pahala, maka diampuni baginya dosa-dosa yang telah lalu.”

(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Oleh sebab itu, bulan Ramadan inilah masa yang terbaik untuk bertaubat dan meminta ampun pada Yang Maha Esa.

Malah, mereka yang menginginkan pahala juga akan diberikan balasan yang lumayan asalkan beribadat dengan bersungguh-sungguh dan ikhlas.

Seperti yang telah diterangkan, bulan Ramadan juga merupakan bulan yang telah diturunkan Al-Quran. Perkara ini bertepatan dengan firman Allah SWT yang bermaksud:

“Bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah.”

(Surah Al-Baqarah, 185)

Jelaslah, begitu besar sekali rahmat pada bulan Ramadan ini. Rugi jika kita tidak mengambil peluang ini untuk memperbanyakkan lagi amalan tidak kiralah amalan fardhu ataupun sunat.

Amalan yang digalakkan di bulan Ramadan selain puasa

Pada bulan yang penuh berkat ini, ada banyak lagi amalan lain yang boleh kita lakukan selain berpuasa. Salah satu perkara yang digalakkan ketika berpuasa adalah amalan bersahur.

Sabda Rasulullah SAW daripada Amru bin Asd yang bermaksud:

“Sesungguhnya perbezaan puasa kita (umat Islam) dengan puasa ahli kitab (Yahudi dan Nasrani) adalah makan sahur.”

Oleh sebab itu, jangan sesekali tinggalkan waktu sahur!  Rugi jika kita tidak bangun sahur semata-mata ingin tidur dengan lebih lama.

Selain amalan bersahur, jangan lupa juga bersedekah di bulan Ramadan. Tidak kiralah berapapun jumlah sedekah tersebut, asalkan ia boleh meringankan beban orang lain, InsyaAllah akan diberikan balasan pahala oleh Allah SWT.

Akhir sekali, banyak-banyakkanlah membaca Al-Quran. Ramadan merupakan bulan Al-Quran. Oleh sebab itu, cubalah untuk khatam Al-Quran sekali di bulan Ramadan.

Ramadan merupakan bulan mulia yang penuh berkat. Bulan inilah masa terbaik untuk kita mendidik diri untuk kekal berdisiplin dan tidak bertindak mengikut nafsu.

Bukan itu sahaja, manfaatkanlah waktu ini dengan amalan-amalan yang soleh. Mana tahu, ini mungkin Ramadan yang terakhir buat kita.