Malaysia dan Sistem Raja Berperlembagaan

Budaya Chan Abdullah 02-Jun-2020
Istana Negara di Kuala Lumpur © Shahrul Affendi A Kadir | Dreamstime.com

Kesultanan Melayu di Tanah Melayu bermula sejak pembukaan Melaka oleh Raja Parameswara. Sejak itu negeri-negeri di Tanah Melayu mula dipimpin oleh Raja-Raja Melayu yang berdaulat. Penjajahan British di Tanah Melayu telah mengurangkan kuasa mutlak Raja-Raja Melayu. Kedudukan dan kuasa Raja-Raja Melayu semakin kurang setelah penubuhan Malayan Union pada 1946.

Setelah Malaysia mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, sistem pemerintahan beraja dikekalkan. Bagaimanapun, sistem Pemerintahan Raja digubal menjadi sistem Raja Berperlembagaan. Melalui sistem ini, kuasa Raja-Raja Melayu dibatasi oleh perlembagaan.

Malaysia mengamalkan sistem demokrasi berparlimen di bawah pentadbiran Raja Berperlembagaan yang diketuai oleh Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara. Salah satu asas utama sistem demokrasi berparlimen adalah pembahagian kuasa kepada tiga bahagian di dalam pemerintahan. Sistem demokrasi berpalimen ini terdiri daripada perundangan, kehakiman dan pentadbiran.

Malaysia merupakan sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi berasaskan kepada sistem Kerajaan Persekutuan. Berdasarkan kepada peruntukan ini, negeri-negeri Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak , Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Pahang, Terengganu, Kelantan, Sarawak dan Sabah telah bersetuju dengan konsep penubuhan Negara Malaysia.

Setiap negeri yang terlibat telah menyerahkan sebahagian kuasa masing-masing seperti kewangan, pertahanan, pelajaran, urusan luar negara dan lain-lain lagi seperti yang telah terkandung di dalam Perlembagaan Malaysia untuk ditadbir oleh Kerajaan Persekutuan. Terdapat beberapa perkara yang diletakkan di bawah kuasa negeri-negeri. Setiap negeri tersebut diberikan hak untuk mentadbir dan menguruskan perkara-perkara berkenaan.

Raja-raja Melayu diberi kuasa untuk memelihara adat istiadat orang Melayu dan Pentadbiran Agama Islam di negeri masing-masing. Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong adalah Ketua Agama Islam bagi negeri-negeri Pulau Pinang, Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan.

Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong adalah Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Negara. Baginda menjalankan tugas-tugas dibawah perlembagaan negara mengikut nasihat Perdana Menteri dan Jemaah Menteri. Raja-raja Melayu pula menjadi Ketua Negeri dan menjalankan tugas mengikut nasihat Menteri Besar masing-masing.

Kesetiaan kepada Raja dan negara, keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang adalah salah satu asas Rukun Negara Malaysia. Sebagai rakyat Malaysia, kita seharusnya mematuhi arahan perlembagaan yang telah ditetapkan dan menghormati kedudukan Raja-raja Melayu serta Yang Di-Pertuan Agong. Keharmonian, kemakmuran dan kesejahteraan yang dimiliki sekarang adalah hasil kebijaksaan Yang Di-Pertuan Agong memerintah negara berdasarkan sitem Raja Berperlembagaan.