Malaysia destinasi mesra Muslim

Dunia Hanita Hassan 18-Nov-2020
Masjid Putra Jaya
Malaysia destinasi mesra Muslim - Masjid Putra di Putrajaya © Cristianzamfir | Dreamstime.com

Setiap kali apabila kita hendak pergi melancong  ke luar negara, perkara utama yang akan menjadi senarai semak adalah makanannya. Juga ruang ibadat yang disediakan sama ada masjid atau surau, penginapan dan restoran yang selesa serta patuh syariah.

Sudah tentu perkara yang sama juga dilakukan oleh pelancong Muslim dari luar negara sekiranya mereka berhasrat berkunjung ke negara kita, Malaysia.

Negara yang mempraktik ajaran Islam, destinasi pelancongan mesra Muslim

Kecemerlangan Malaysia sebagai sebuah negara Islam di peringkat antarabangsa bukan sesuatu yang baharu. Kemampuan kita dalam pelbagai sektor amat berkait rapat dengan pembangunan Islam secara holistik.

Negara kita sering dinobat sebagai antara negara yang mempraktik ajaran Islam serta mampu menarik perhatian masyarakat dari serata dunia mengunjunginya. Setiap tahun, Malaysia diiktiraf sebagai destinasi pelancongan mesra Muslim oleh pelbagai entiti perkhidmatan pelancongan antarabangsa.

Ia memenuhi kehendak dan tuntutan Islam tanpa meminggirkan kemudahan dan pembangunan moden. Ruang  ibadat yang selesa seperti masjid dan surau dengan aneka makanan halal yang ditawarkan adalah daya penarik yang tidak mungkin dilepaskan oleh para pelancong.

Antara tarikan pelancong Muslim di Malaysia ialah masjidnya. Pelbagai jenis masjid dengan reka bentuk  lama dan baharu yang masih terpulihara dengan baik sedia menerima kehadiran pelancong asing terutama Muslim.

Masjid-masjid pilihan adalah seperti Masjid Putra (Putrajaya), Masjid Negara (Kuala Lumpur) dan Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (Shah Alam). Di negeri-negeri lain antaranya ialah Masjid Kampung Hulu dan Masjid Selat (Melaka), Masjid Kristal (Terengganu) dan Masjid Zahir (Alor Setar).

Selain masjid, para pengembara Muslim juga bebas mendapatkan makanan halal. Makanan jalanan yang popular dalam kalangan penduduk Malaysia boleh dicuba tanpa ragu. Begitu juga makanan di gerai-gerai atau restoran makanan segera berjenama tempatan mahupun antarabangsa atau restoran di hotel-hotel yang diperakui dengan pensijilan halal.

Makanan halal dan lokasi mesra Muslim

Sepanjang bulan Ramadan, penganjuran Bazar dan Pasar Ramadan turut menjadi tarikan pelancong Muslim antarabangsa. Di sinilah anda boleh menikmati makanan halal daripada pelbagai jenis, rasa dan bentuk yang menarik yang tidak pernah anda temui pada hari biasa.

Biasanya penganjuran Bazar Ramadan dianjurkan di seluruh negara. Ia adalah salah satu acara yang tersenarai dalam kalendar acara pelancongan bagi menarik minat pengunjung khususnya dari luar negara  ke negara ini.

Antara Bazar Ramadan yang popular di Kuala Lumpur seperti di Kampung Baru dan sepanjang Jalan Tunku Abdul Rahman sehingga ke persimpangan Jalan Raja berhadapan Dataran Merdeka yang mendapat perhatian pelancong.

Kepakaran Malaysia mewujudkan makanan halal kepada pelancong Muslim antarabangsa membantu negara meneroka pasaran halal dunia. Taiwan dan Jepun adalah antara negara yang menjadikan Malaysia sebagai petunjuk dalam membangunkan industri pelancongan makanan halal di negara mereka.

Ia kerana status halal mampu memberi kesan positif dalam pelbagai cabang industri. Firman Allah SWT dalam al-Quran yang bermaksud:

“Wahai sekalian manusia!  Makanlah dari apa yang ada di bumi, yang halal lagi baik dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan, kerana sesungguhnya syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu.”

(Surah al-Baqarah, ayat 168)

Antara lokasi popular lain yang menjadi tarikan pelancongan mesra Muslim di Malaysia ialah Muzium Kesenian Islam Kuala Lumpur; Nasrul Quran, Putrajaya; Taman Tamadun Islam, Terengganu; Moroccan Pavilion, Putrajaya dan Batu Bersurat Terengganu.