Malaysia mahu bawa pulang rakyat terperangkap di Hubei

Dunia Adea Ghafar 29-Jan-2020
Wuhan, China
Wuhan, China © Julien Viry | Dreamstime.com

Kerajaan akan berunding dengan China untuk membenarkan rakyat Malaysia di Hubei kembali ke Malaysia, demikian menurut Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad. Berdasarkan maklumat rekod kerajaan, 78 rakyat Malaysia masih terperangkap di Hubei, apabila kerajaan China menutup pergerakan keluar masuk dari kawasan wilayah itu.

Penutupan pergerakan ini adalah bertujuan untuk menghalang penyebaran jangkitan coronavirus baru (2019-nCoV). Rakyat Malaysia yang masih berada di Wuhan sekarang tidak boleh keluar dari situ. Oleh itu, perundingan akan dijalankan dengan kerajaan China agar membenarkan rakyat Malaysia yang tidak sakit supaya dapat pulang ke Malaysia.

Menurut Tun Dr. Mahathir dalam satu sidang akhbar, rakyat Malaysia yang boleh pulang akan diperiksa bila sampai ke Malaysia. Jika ada bukti bahawa mereka telah dijangkiti coronavirus baru ini, mereka akan dikuarantin untuk pemeriksaan sebelum dibenarkan pulang ke rumah. Mengikut laporan setakat ini, tiada rakyat Malaysia di Wuhan yang dilaporkan telah dijangkiti coronavirus baru ini.

Coronavirus baru (2019-nCoV) ini telah membunuh seramai 132 orang dengan sebanyak 6,000 kes di China sahaja. Ratusan warga Amerika Syarikat dan Jepun sudah dikeluarkan dari Wuhan dan wilayah Hubei, manakala pengeluaran warga Australia sedang dirancang.

Menurut Tun Dr. Mahathir, bagi rakyat Malaysia di Wuhan, selain tidak dapat ke mana-mana, mereka juga dilaporkan mengalami masalah kekurangan bekalan makanan, dan ada yang hanya cukup bekalan makanan selama empat hari.

Tun Dr. Mahathir menambah, jika Malaysia perlu menghantar kapal terbang ke sana untuk membawa pulang rakyat terbabit, kerajaan juga akan membawa bantuan makanan dan juga sarung tangan dan topeng muka yang kekurangan bekalannya di sana. Di tanya mengenai status warga China yang dirawat di Malaysia kerana koronavirus, Tun Dr. Mahathir berkata mereka tidak menunjukkan gejala atau tanda positif coronavirus baru.

Para pelancong dari China yang berada di Malaysia juga tidak dianggap berisiko. Mereka juga tidak akan tinggal lama dan pastinya perlu meninggalkan Malaysia. Bagi para pelancong yang keluar dari Malaysia, mereka tidak akan dikenakan pemeriksaan kesihatan. Keutamaan kerajaan adalah bagi mereka yang memasuki Malaysia.