Malaysia penyedia produk halal untuk Sukan Olimpik Tokyo

Halal Md Wa'iz
Md Wa'iz
Malaysia penyedia produk halal untuk Sukan Olimpik Tokyo
Malaysia penyedia produk halal untuk Sukan Olimpik Tokyo (foto: Jambatan Pelangi, Tokyo) © tokyo2020.org

Tahukah anda, bahawa Malaysia merupakan satu-satunya negara yang diberikan hak untuk membekalkan makanan halal semasa Sukan Olimpik Tokyo 2021?

Apakah keistimewaan di sebalik peluang perbekalan makanan halal ini?

Sukan Olimpik Tokyo ditunda ke tahun 2021

Mengikut perancangan asal, Sukan Olimpik Tokyo sepatutnya diadakan bermula 23 Julai 2020. Namun, disebabkan oleh pandemik COVID-19 yang menyerang sejak akhir tahun 2019 sehingga kini, acara sukan terbesar dunia ini dianjak ke tahun 2021.

Kini, tarikh terbaharu acara Sukan Olimpik Tokyo akan diadakan pada 24 Julai 2021.

Malaysia dilantik sebagai pembekal makanan halal

Apa yang menarik mengenai edisi Sukan Olimpik pada kali ini, ia turut melibatkan penglibatan Malaysia secara langsung dalam pengurusan atlet yang akan hadir ke Tokyo kelak.

Untuk pengetahuan semua, Malaysia telah dilantik oleh Kerajaan Jepun untuk menjadi pembekal makanan halal utama kepada semua atlet yang hadir ke Tokyo. Sasaran utama mereka adalah untuk menyediakan kemudahan makanan halal kepada atlet Muslim, selain pelancong Muslim yang akan hadir sempena penganjuran Sukan Olimpik.

Malaysia mensasarkan untuk menjual produk makanan halal di acara sukan ini dengan nilai sebanyak 300 juta Dolar Amerika.

Nasi Beriani antara yang akan disediakan

Syarikat MyChef merupakan antara syarikat yang akan terlibat dengan penyediaan makanan halal di Sukan Olimpik Tokyo. Syarikat ini akan menyediakan ribuan pek makanan sedia dimakan untuk dihantar ke Jepun bagi memenuhi keperluan atlet Muslim.

Antara jenis makanan yang akan disediakan oleh syarikat ini ialah seperti Nasi Beriani Ayam dan juga Nasi Goreng.

Kepentingan acara Sukan Olimpik Tokyo kepada industri halal

Antara kepentingan utama penglibatan syarikat Malaysia dalam peluang ini ialah meluaskan pasaran global. Syarikat MyChef mensasarkan bahawa mereka tidak berniat untuk terlibat hanya kerana Sukan Olimpik semata-mata. Mereka ingin masuk ke pasaran Jepun bagi jangka masa panjang.

Malah, syarikat ini juga telah berbincang dengan pihak AEON Jepun bagi meluaskan pasaran makanan halal di premis mereka di sana. Ini bermakna, Malaysia menggunakan platform acara sukan ini sebagai batu loncatan untuk meningkatkan pasaran eksport barangan halal ke peringkat global.

Sememangnya acara sukan ini boleh menjadi satu platform pemasaran yang amat baik bagi memperkenalkan produk halal keluaran Malaysia. Ini kerana, terdapat lebih kurang 50 buah negara-negara Islam yang akan menyertai kejohanan berprestij ini.

Jepun bersedia penuhi kehendak Muslim

Nampaknya, Jepun sememangnya sudah bersedia untuk menerima kehadiran pelancong serta atlet Muslim ke negara mereka. Selain kemudahan makanan halal yang banyak, pihak kerajaan Jepun juga sudah banyak melakukan beberapa inisiatif mesra Muslim seperti penyediaan ruang solat untuk orang Islam.

Malah mereka turut menyediakan masjid bergerak yang akan disediakan di setiap lokasi acara sukan Olimpik. Masjid bergerak ini diubahsuai daripada sebuah trak dan mampu memuatkan sekitar 50 orang jemaah. Kesemua usaha ini sememangnya dilihat mampu menarik lebih ramai pelancong Muslim ke Jepun kelak.