Maldives, gugusan kepulauan Islam

Dunia Hagnas 06-Sep-2020
dreamstime_m_111617126
Maldives © Lexandr Lexandrovich | Dreamstime.com

Republik Maldives merupakan sebuah negara yang terletak di Asia Selatan yang berada dalam lingkungan gugusan 26 atol di Laut Arab di sepanjang Lautan Hindi iaitu di sebelah hujung selatan Semenanjung India. Atol merupakan sejenis pulau batu karang yang berbentuk bulat atau separa bulat, mengelilingi lagun di dalamnya.

Sebuah atol boleh terbentuk daripada gugusan beberapa buah pulau dalam bentuk bulatan. Di Maldives, terdapat kira-kira 1200 buah pulau yang membentuk atol-atol. Sebagai contoh, Atol Utara Male, tempat letaknya ibu kota Male, mempunyai 107 buah pulau.

Agama rasmi Maldives ialah Islam dari Mazhab Syafi’i.  Semua urusan pentadbiran dan kerohanian  orang-orang Islam diuruskan  oleh  kerajaan, di bawah kuasa Presiden dan Kementerian Hal-Ehwal Keagamaan (dulunya dikenali sebagai Suruhanjaya Tinggi Hal-Ehwal Keagamaan).

Selain itu, ketua kerohanian seluruh masyarakat Islam di negara ini ialah Imam Masjid Sultan Thakurufaanu al-Auzam (juga dikenali sebagai Pusat Islam), yang bertindak sebagai pusat kerohanian utama bagi seluruh masyarakat Islam di Maldives yang bertanggungjawab dalam menguruskan dan mentadbir urusan berkaitan undang-undang syariah di negara ini.

Pada Bulan Disember 2018, Sheikh Ibrahim Rasheed Hassan telah dilantik sebagai Imam di Pusat Islam tersebut, merangkap ketua kerohanian bagi masyarakat Islam di Madives. Masjid Sultan Thakurufaanu al-Auzam merupakan masjid terbesar di kepulauan ini, dengan kapasiti mencecah 5000 orang. Pusat Islam di Masjid ini menjadi pusat bagi seluruh jabatan agama Islam di negara ini, termasuk Kementerian Hal-Ehwal Agama Islam.

Islam tiba di Maldives pada abad ke-12, yang dibawa oleh pedagang dan pendakwah dari Arab dan India. Sebelum kehadiran Islam, ajaran Buddha tersebar luas di Maldives. Tetapi pada tahun 1153, Raja Dhovemi, selepas mendengar penjelasan tentang kebenaran aqidah tauhid yang mengesakan Allah SWT, telah memeluk Islam dan menjadi Sultan Maldives pertama yang beragama Islam, dengan menggunakan nama Muhammad Bin Abdullah.

Sultan Muhammad telah menghilangkan semua kesan-kesan ajaran Buddha di kepulauan tersebut dan mula membina masjid-masjid dan menjemput imam-imam dari negara jiran, India. Pada tahun 1166, Sultan telah berangkat menunaikan haji di Mekah namun beliau tidak pernah dilaporkan pulang kembali ke Maldives.

Namun, benih-benih keimanan yang beliau telah tanamkan sepanjang 13 tahun keIslaman beliau telah berkembang pesat dan subur di kalangan penduduk Maldives. Maldives kini menjadi salah satu negara-negara Islam di dunia.

Bagi kebanyakan daripada kita, Maldives sering dikenali dengan pantai-pantai berpasir yang indah dengan lautan kebiruan, di bawah kecerahan sinar mentari dan keindahan warna tropika. Namun pelancongan dan kehidupan sebenar rakyat Maldives agak berbeza.

Pelancongan merupakan sumber pendapatan utama bagi Maldives, maka zon istimewa telah disediakan untuk para pelancong. Bagi kebanyakan rakyat Maldives, mereka tetap hidup berdasarkan ajaran Islam, selari dengan tuntutan syariah, bersama kesungguhan untuk beramal soleh dan berakhlak dengan akhlak Islam.

Sejak sekian lama, ajaran Sufi dan kerohanian telah tersebar luas di Maldives. Semua bentuk amalan zikir (ucapan yang sering dibaca berulang-ulang kali), acara mawlid (sambutan besar-besaran dengan iringan muzik, bunga-bungaan dan bermacam acara bagi meraikan hari kelahiran Nabi Muhammad SAW), merupakan antara amalan-amalan popular di Maldives.

Setiap pulau yang diduduki penduduk Maldives mempunyai sekurang-kurangnya satu atau beberapa masjid yang dibuat dari batu karang dengan bentuk-bentuk hiasan dalam yang sangat indah. Terdapat sebanyak 725 buah masjid dan 266 buah masjid khusus untuk wanita di Maldives.

Amalan agama Islam yang tekun dan berdisiplin menjadi semakin terkenal di kalangan umat Islam di Maldives, terutamanya sejak 20 tahun yang lalu. Kini Maldives merupakan sebuah negara Islam yang menjadikan Islam sebagai peranan utama dalam negara.