Buletin SalamWebToday
Daftar untuk mendapatkan artikel SalamWeb Today setiap minggu!
Maafkan kami, ralat berlaku disebabkan oleh:
Dengan melanggan, anda bersetuju dengan Syarat dan Dasar Privasi SalamWeb
 Seni Buletin

Malu sebahagian iman

Islam 26 Nov 2020
Malu sebahagian iman
Malu sebahagian iman © Abdrahimmahfar - Dreamstime.com

Islam menyuruh umatnya bersifat pemalu kerana malu itu sebahagian daripada iman. Iman adalah terdiri daripada amalan hati, anggota badan dan lidah. Daripada keimanan akan terpancar sifat-sifat baik dalam diri.

Cabang iman paling utama adalah ucapan ‘La Ilaha Illallah’ (Tiada Tuhan yang berhak disembah selain Allah) manakala sifat malu pula merupakan sebahagian daripada darjat-darjat iman.

Malu sebahagian iman

Daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya:

“Malu itu adalah sebahagian daripada keimanan.”

(Hadis riwayat al-Bukhari, no. 9)

Sifat malu adalah akhlak mulia dan terpuji yang menghalang kita melakukan maksiat dan mendorong melakukan ketaatan dan ibadah. Malu yang dianjurkan oleh Islam ialah malu daripada melakukan perbuatan keji dan maksiat.

Rasulullah SAW menjelaskan bahawa kita perlu menjaga beberapa perkara.  Menjaga kepala dan yang berkaitan dengannya (menjaga pemikiran, mata dan telinga agar menjauhi unsur negatif).

Menjaga perut dan perkara yang bersambung dengannya (menjauhi makanan haram atau dari sumber haram, tidak menerima rasuah dan menjauhi tuntutan hawa nafsu).  Mengingati mati dan segala kesusahannya dan tidak mementingkan perhiasan dunia dan mengutamakan orang lain.

Sifat malu semakin terhakis dalam diri akibat daripada timbulnya pelbagai penyakit sosial. Kehilangan sifat ini menyebabkan seseorang itu berani melakukan maksiat secara terang-terangan baik di khalayak ramai apatah lagi di depan Allah SWT.

Antaranya melakukan rasuah politik (politik wang), penyelewengan, menyebarkan video atau gambar yang mengaibkan di media sosial, bapa mendera anak, gejala pemerdagangan manusia dan banyak lagi.

Malu mengukuhkan akidah, memandu pelaksanaan ibadah

Rasulullah SAW sebagai imam dan penghulu seluruh Nabi seorang yang sangat pemalu. Abu Said al-Khudri berkata:

“Rasulullah SAW itu tinggi sifat malunya.  Bahkan lebih malu berbanding anak dara yang baharu dikahwinkan dengan suami yang tidak dikenalinya.  Jika Rasulullah SAW melihat perkara yang tidak menyenangkan hatinya, kita dapat melihat perubahan riak wajahnya.”

(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Ibu bapa perlu memainkan peranan dengan mendidik dan memupuk sifat malu dalam diri anak sejak kecil. Ia sebagai benteng diri daripada kemaksiatan apabila meningkat dewasa.  Antara keadah terbaik untuk memupuk sifat malu dalam diri adalah dengan memberi kefahaman mengenai sifat ihsan.

Nabi Muhammad SAW menjelaskan mengenai sifat ihsan melalui sabda Baginda yang bermaksud:

“Engkau menyembah Allah seolah-olah engkau melihat-Nya.  Sekiranya engkau tidak dapat melihat-Nya, maka sesungguhnya Dia melihatmu.”

(Hadis riwayat Muslim)

Islam mementingkan sifat malu agar dapat mengukuhkan pegangan akidah dan memandu pelaksanaan ibadah kita sebagai seorang Muslim.  Ia dijelaskan dalam sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud:

“Malu dan iman sentiasa bersama.  Apabila salah satunya dicabut, maka hilanglah yang lainnya.”

(Hadis riwayat al-Hakim)

Justeru marilah kita mengukuhkan iman kerana semakin tinggi iman maka semakin tinggi harga diri dan sifat malu kita.  Semoga Allah SWT memberi kefahaman tentang ilmu agama dalam diri kita.