Manfaatkan media sosial untuk e-niaga anda

Perniagaan Chan Abdullah 28-Apr-2020
e-niaga guna media sosial © Bigtunaonline | Dreamstime.com

Pada musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), mungkin ada yang mahu cuba menceburkan diri dalam perniagaan dalam talian (online business) atau e-niaga. Bagi anda yang sudah biasa menggunakan pelbagai aplikasi media sosial, anda mungkin boleh belajar memanfaatkannya bagi tujuan mempromosikan perniagaan secara dalam talian.

Artikel ini menerangkan serba sedikit tentang Facebook (FB) bagi tujuan e-niaga. Kebanyakan anda pastinya mahir menggunakan FB untuk bersosial di alam maya. Tapi mungkin kurang mahir untuk menggunakannya bagi tujuan mempromosi perniagaan dalam talian.

Jika anda masih tercari-cari caranya, anda bolehlah mengikuti langkah-langkah seperti berikut:

  • Perlu ada rakan  dan bilangan pengikut yang tinggi di Facebook anda. Anda perlu ada sekurang-kurangnya 1500 rakan dalam akaun FB anda. Jika bilangan rakan anda tidak sebanyak itu, cuba tambah sepuluh rakan setiap hari. Pastikan anda tambah rakan yang meminati subjek dalam bidang yang bakal anda promosikan. Langkah paling mudah ialah dengan melihat rakan-rakan kepada tokoh dalam bidang anda. Tambah rakan dari kalangan rakan dan pengikut mereka.
  • Bina kredibiliti anda di Facebook. Kongsikan hantaran yang boleh membantu rakan anda. Tak kisahlah apa-apa pun. Sebaiknya kongsikan sesuatu yang relevan dengan bidang anda. Jangan terus menjual sebaik sahaja rakan baru menerima permintaan anda menjadi rakan mereka.
  • Jadi responsif dengan selalu memberi respons dan komen, menyukai (like) dan mengongsi hantaran rakan anda di Facebook. Lebih kerap anda berinteraksi dengan mereka, lebih kerap dan tinggi peluang untuk mereka lihat hantaran anda nanti. Pastikan anda juga menyukai dan memberi respons kepada komentar yang dihantar (post) oleh rakan anda. Bukan sekadar suka dan komen hantaran sendiri.
  • Jangan buat hantaran menjual produk secara terus setiap masa. Sekali-sekala tak apa. Gunakan unsur-unsur penceritaan dan perkongsian. Kiriman yang ringkas tapi bermanfaat selalunya lebih mendapat perhatian pembaca.
  • Jangan curi dan plagiat hantaran orang lain. Ini tak bagus untuk kredibiliti anda. Jika anda rasa hantaran mereka bermanfaat, anda boleh tekan butang kongsi (share) dan kongsikan hantaran mereka.
  • Jika tiada masa untuk anda sentiasa berada dalam talian di Facebook setiap hari, jadualkan hantaran anda menggunakan aplikasi yang boleh menjadualkan dan menguruskan hantaran media sosial, yang boleh didapati secara percuma seperti aplikasi Hootsuite, HubSpot atau Buffer. Anda hanya perlu tulis dulu hantaran-hantaran anda pada masa lapang dan jadualkan bila hantaran tersebut mahu dihantar mengikut masa yang anda pilih.
  • Tulis dengan menggunakan selang (2 baris) supaya lebih tersusun dan mudah untuk hantaran anda dibaca.
  • Jangan lupa letak ajakan bertindak (call to action – CTA) untuk memberitahu pengguna supaya dapat muat turun, daftar, baca, komen, suka dan sebagainya. Biasanya lebih banyak respons akan didapati pada hantaran bila ada CTA. Satu lagi tips ialah hantaran elok dibuat dalam bentuk soalan supaya dapat interaksi yang lebih baik daripada rakan dan pengikut anda.

Semoga perkongsian ringkas kali ini bermanfaat buat anda. Selamat mencuba dan gunakan Facebook untuk mempromosikan e-niaga anda.