Manggis, ratu segala buah

Selera Hanita Hassan 06-Sep-2020
dreamstime_s_114724658
Manggis, ratu segala buah © Krissikunterbunt | Dreamstime.com

Manggis adalah sejenis buah yang isinya putih dan boleh dimakan mentah.  Kulitnya lembut dan tebal berwarna ungu pekat yang berfungsi sebagai pelindung kepada isinya yang putih. Manggis dikenali sebagai buah seribu guna atau ratu segala buah.

Kajian yang dilakukan ke atas ekstrak buah manggis mendapati ia mempunyai pelbagai khasiat untuk kesihatan selain mampu mematikan bakteria serta melambatkan pertumbuhan beberapa jenis sel kanser.  Sekiranya dimakan dua kali sehari selama lapan minggu, indeks tubuh akan menjadi lebih rendah sekali gus membantu menurunkan berat badan.

Vitamin C dan serat yang terkandung dalam buah manggis adalah faktor penting untuk menguatkan sistem imunisasi tubuh. Serat dalam manggis  bermanfaat untuk memastikan bakteria baik bagi proses pencernaan.  Antioksida yang terkandung di dalamnya juga berfungsi sebagai antibakteria yang mampu mencegah jangkitan bakteria berbahaya.

Bagi wanita yang mementingkan kecantikan wajah, kajian mendapati dengan 100mg ekstrak manggis diminum setiap hari, dapat mengatasi masalah kulit pada wajah secara mendadak. Kandungan antioksidan dalam manggis adalah antara faktor yang mempengaruhi kulit selain melambatkan proses penuaan.

Manggis atau nama saintifiknya garcinia mangostana adalah dari keluarga guttiferae. Ia berasal dari kawasan Asia Tenggara dan banyak ditanam di  Malaysia terutama di Johor, Kelantan dan Perak.  Sedap dimakan begitu sahaja, buah manggis juga boleh dijadikan jus minuman, kordial, jem dan pencuci mulut.

Pokoknya berdaun lebar dan kanopi berbentuk piramid atau berjubah.  Batangnya lurus dan bercabang simetrikal. Daunnya bujur, eliptik dan disusun bertentangan serta tebal dan keras.  Bunga manggis berwarna hijau keputihan dan keluar satu persatu atau berpasangan pada hujung cabang.

Selain ekstrak buah manggis, kulitnya juga bermanfaat dalam pembuatan ubat herba.  Ia dikatakan memiliki banyak khasiat dan boleh menyembuhkan pelbagai penyakit.  Zat penting yang terdapat dalam kulit manggis iaitu zat xanthones iaitu bahan alami yang baik untuk mengatasi masalah kesihatan, mencegah diabetes, kanser dan melawan radikal bebas.

Secara tradisional kulit manggis dilumat dan digunakan untuk merawat penyakit seperti malaria, tibi, penyakit kulit, cirit-birit dan dysentery. Di Thailand, buah manggis dikeringkan untuk dijadikan bahan kosmetik seperti syampu dan sabun bagi menghaluskan kulit serta mencegah penyakit kulit.

Ekstrak kulit manggis juga kaya dengan kandungan antioksidan, vitamin, mineral dan asid amino yang membantu meningkatkan kesihatan tubuh dan kecantikan.  Bagi peminat kopi, rasailah keenakan kopi kulit manggis yang   diproses sebagai kopi manggis.  Mungkin ramai kalangan anda yang terkejut kerana tidak pernah tahu akan hal ini.

Aroma dan cita rasa kopi kulit manggis tidak kalah dengan kopi.  Rasanya pahit seperti kopi, teksturnya juga seperti kopi, cuma warnanya sahaja yang sedikit berbeza iaitu berwarna kecoklatan. Bagi anda yang mengalami masalah kencing tidak terkawal, buasir, kolesterol, kadar gula tinggi dan beberapa penyakit lain boleh menjadikan kopi kulit manggis sebagai minuman harian.

Daripada Abu Hurairah r.a bahawa Nabi SAW bersabda maksudnya: “Allah tidak menurunkan sesuatu penyakit melainkan diturunkan bersamanya penawar.”  (Hadis riwayat al-Bukhari, 5678)

Apabila kita sakit, Allah SWT mengambil kekuatan tenaga dan rasa lazat di lidah, cahaya di wajah dan terakhir dosa.  Saat kita disembuhkan, kesihatan dikembalikan kecuali dosa. Inilah nikmat-Nya.