‘Mantai’: Budaya masyarakat Negeri Sembilan menyambut kehadiran Ramadan

Puasa 12 Apr 2021 Tari Basir
Pilihan oleh Tari Basir
‘Mantai’: Budaya masyarakat Negeri Sembilan menyambut kehadiran Ramadan
‘Mantai’: Budaya masyarakat Negeri Sembilan menyambut kehadiran Ramadan © odisi.my

Ramadan merupakan antara bulan mulia bagi seluruh umat Islam. Salah satunya disebabkan ia satu-satunya bulan di mana mereka akan berpuasa dengan menahan lapar dan dahaga, selain dilipatkan ganjaran berlipat ganda dalam amalan berbanding bulan-bulan yang lain.

Maka tidak peliklah, terdapat beberapa kelompok masyarakat umat Islam dan tempat yang meraikan kehadiran hari pertama Ramadan, atau sehari sebelumnya. Ia lambang kegembiraan mereka dengan kehadiran bulan yang mulia ini. Di samping mempersiapkan fizikal dan mental mereka untuk berjihad menahan lapar dan dahaga kerana mentaati perintah Allah SWT.

Di Malaysia, komuniti umat Islam di Negeri Sembilan meraikan kehadiran Ramadan dengan melakukan aktiviti yang dinamakan ‘mantai’. Aktiviti ‘mantai’ ini merupakan tradisi yang telah pun diamalkan turun-temurun. Kebiasaannya, aktiviti ini diamalkan sehari sebelum kehadiran 1 Ramadan.

Apakah itu ‘mantai’?

Menurut dialek Negeri Sembilan, ‘mantai’ bermaksud ‘membantai’ dan sudah diamalkan sejak nenek moyang mereka terdahulu. Ia merujuk kepada amalan gotong-royong masyarakat dalam menyembelih lembu atau kerbau, kemudiannya dilapah dan dibahagikan kepada semua. ‘Mantai’ juga dipanggil ‘Mogang’ dalam dialek Negeri Sembilan yang lain.

Berdasarkan cerita daripada orang-orang lama, aktiviti ‘mantai’ bermula daripada kegemaran orang Negeri Sembilan terhadap daging lembu atau kerbau. Daging-daging ini sangat enak apabila dijadikan rendang dan tahan lama sehingga sebulan.

Malahan, ‘mantai’ juga merupakan salah satu cara untuk mendapatkan bekalan daging mentah, disebabkan ketidakwujudan peti sejuk pada ketika itu. Kerana itulah aktiviti ‘mantai’ berlaku, kerana seluruh daging perlu diagihkan dan tidak boleh disimpan terlalu lama.

‘Mantai’ bukan sahaja diamalkan sebelum ketibaan 1 Ramadan, bahkan juga diamalkan sebelum ketibaan Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha. Aktiviti ini diamalkan hampir kesemua tempat sama ada di kampung seperti Jempol, Kuala Pilah dan Jelebu. Mahupun bandar seperti Seremban.

Pengisian aktiviti ‘mantai’

Bagi masyarakat Negeri Sembilan, tidak keterlaluan jika dikatakan Ramadan atau Hari Raya seakan tidak lengkap sekiranya tidak didahului dengan sambutan aktiviti ‘mantai’ ini. Di rumah, kaum ibu sibuk menyediakan bahan-bahan untuk ‘molomang’ (memasak lemang) dan ‘boghondang’ (memasak rendang) usai solat Subuh.

Walaupun pada zaman ini aktiviti gotong-royong menyembelih lembu dan kerbau jarang dilakukan, namun wujud penjual daging segar yang memenuhi setiap inci jalan di Negeri Sembilan ketika hari ‘mantai’ ini.

Kedai-kedai ini akan diserbu oleh orang yang mencari daging untuk ‘mantai’ kerana ia dijual lebih murah berbanding harga pasaran. Hal inilah yang menjadi punca wujudnya istilah ‘cincang pelupuh’ yang merupakan daun daripada sebatang pokok pelupuh dan menjadi alas daging yang dilapah.

Kemuncak aktiviti ‘mantai’

Apabila selesai aktiviti ‘molomang’ dan ‘boghondang’ yang dilakukan sesama masyarakat kampung atau sesama keluarga dan sanak-saudara, mereka akan saling bertukar dan berkongsi makanan yang dimasak walaupun menu hidangan yang sama.

Pada malamnya, seluruh keluarga akan bersama-sama ke masjid atau surau untuk bertarawikh, kemudiannya bersahur dan berbuka puasa pada Ramadan yang pertama.

Aktiviti ‘mantai’ ini menjadi medium untuk ahli keluarga dan sanak-saudara berkumpul. Maka tidak hairanlah ada yang sanggup mengambil cuti tahunan semata-semata untuk menyambut hari ‘mantai’ ini.

Walaupun masyarakat sentiasa berubah seiring dengan peredaran zaman, namun aktiviti ‘mantai’ tetap diteruskan masyarakat Negeri Sembilan di Malaysia acap kali kehadiran Ramadan. Selain simbol meraikan bulan mulia tersebut, ia juga medium terbaik penyatuan keluarga dan masyarakat Negeri Sembilan.