Mariam al-Asturlabi: Wanita muslim genius hasilkan inovasi astrolab

Wanita Md Wa'iz
Pilihan oleh Md Wa'iz
Mariam al-Asturlabi: Wanita muslim genius hasilkan inovasi astrolab
Mariam al-Asturlabi: Wanita muslim genius hasilkan inovasi astrolab © artsandculture.google.com

Ada seorang wanita Muslim yang telah memberikan sumbangan besar dalam dunia astronomi. Beliau ialah Mariam al-Asturlabi. Siapakah beliau yang sebenarnya dan apakah sumbangannya itu?

Keperluan untuk menentukan waktu solat

Orang-orang Islam diwajibkan untuk menunaikan solat sebanyak lima kali dalam sehari. Untuk menentukan masuknya waktu solat, kita perlu melihat kepada kedudukan matahari. Apabila waktu solat sudah tiba, maka semua umat Islam akan menunaikan solat dengan menghadap ke arah Kaabah yang terletak di Arab Saudi.

Disebabkan keperluan umat Islam terhadap penentuan waktu serta penentuan arah untuk menunaikan solat, maka Mariam al-Asturlabi telah tampil kehadapan untuk memperbaiki kaedah ini.

Pada abad ke-19, Mariam al-Asturlabi telah memperbaiki ciptaan astrolab sedia ada agar mudah digunakan oleh orang Islam untuk keperluan solat.

Apakah astrolab yang diperbaiki oleh Mariam al-Asturlabi ini?

Astrolab adalah sejenis alat yang digunakan untuk menentukan kedudukan matahari, bulan, bintang serta planet-planet lain. Orang-orang Islam pada zaman dahulu menggunakan astrolab sebagai alat untuk menentukan arah kiblat dan menentukan masuknya waktu solat.

Bukan itu sahaja, astrolab juga sebenarnya telah lama digunakan dalam bidang astronomi, astrologi dan horoskop.

Astrolab yang mudah hanya diperbuat daripada cakera logam atau kayu bulat dengan di sekelilingnya ditandai dengan darjah. Terdapat juga penunjuk bergerak yang berpusing di bahagian tengah cakera yang disebut alidade.

Bagaimana Mariam al-Asturlabi memperbaiki ciptaan astrolab ini?

Mariam al-Asturlabi berminat untuk membangunkan semula astrolab ini disebabkan oleh kerja-kerja ayahnya.

Ini kerana ayahnya, Al-Ijliyy Al-Asturlabi, merupakan seorang pembuat astrolab di Syria. Ayahnya menuntut ilmu membuat astrolab ini daripada seorang pembuat astrolab di Baghdad, Iraq.

Pembuatan astrolab memerlukan kepakaran dan penelitian yang tinggi dalam pengiraan matematik. Ini kerana rekaan astrolab adalah satu rekaan yang rumit, kompleks serta memerlukan ketepatan.

Namun, Mariam tetap berjaya mempelajari bagaimana untuk menghasilkan astrolab dan berjaya memperbaiki ciptaan tersebut kepada versi yang lebih baik.

Mendapat perhatian penguasa

Rekaan astrolab yang berjaya dicipta oleh Mariam ini telah menarik perhatian Sayf Al-Dawla, pengasas dan penguasa Kerajaan Aleppo di Syria. Sayf Al-Dawla telah mengambil Mariam untuk bekerja di mahkamah di Aleppo.

Selain menginovasikan ciptaan astrolab, Mariam juga telah membangunkan teknik navigasi serta teknik pencatatan masa semasa bekerja di mahkamah itu.

Wanita Muslim yang genius

Walaupun Mariam tidak mempunyai sebarang pengajian dalam bidang matematik secara khusus, dia berjaya membuktikan kemahiran serta kepintarannya dalam inovasi astrolab yang rumit. Astrolab hasil inovasinya ini telah terbukti berjaya menentukan kedudukan objek di langit dengan sangat tepat.

Sumbangan Mariam dalam bidang astronomi ini membuktikan bahawa Islam menghargai keilmuan walaupun ia datang daripada seorang wanita.

Mariam al-Asturlabi adalah contoh wanita Muslim genius yang mahir ilmu matematik dan juga kreatif dalam seni pembuatan.