Martabat ibu bapa dan balasan menderhakai ibu bapa

Keluarga 26 Apr 2021 Aimy Azhary
Pilihan oleh Aimy Azhary
Martabat ibu bapa dan balasan menderhakai ibu bapa
Martabat ibu bapa dan balasan menderhakai ibu bapa © dotshock | Dreamstime.com

Menderhakai ibu bapa merupakan perkara yang dipandang serius oleh agama dan dikira sebagai dosa besar. Perbuatan ini mengancam kestabilan dan keamanan hidup berkeluarga di samping mengundang azab daripada Allah Taala.

Martabat ibu bapa dalam agama

Islam menetapkan bahawasanya ketaatan kepada ibu bapa merupakan antara jalan mendekatkan diri kepada Allah SWT. Firman Allah dalam al-Quran, surah Al-Isra, ayat 23:

“Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan “Ha”. Dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).”

Ayat ini menunjukkan kepada kita bahawasanya berlaku ihsan kepada kedua orang tua merupakan tingkatan kedua selepas tuntutan tauhid kepada Allah SWT.

Selain itu, ia juga menunjukkan bagaimana Islam mengekalkan kebajikan buat ibu bapa ketika mereka sudah tidak berupaya, dengan meletakkan tanggungjawab ke atas anak masing-masing.

Di samping itu, terdapat juga hadis yang memberikan peringatan tegas akan hal ini. Sabda Rasulullah SAW:

“Kehinaan, kehinaan, kehinaan. Baginda ditanya: Siapa (yang engkau maksudkan) wahai Rasulullah? Rasulullah menjawab: Siapa sahaja yang mempunyai orang tuanya ketika sudah lanjut usia, salah satu atau keduanya namun tidak (menjadikannya sebab) masuk syurga.”

(Hadis riwayat Muslim)

Azab segera buat penderhaka

Sabda Nabi Muhammad SAW:

“Setiap dosa akan dilewatkan balasannya oleh Allah SWT hingga hari kiamat, kecuali al-baghy (zalim), derhaka kepada orang tua dan memutuskan silaturahim. Allah akan menyegerakan di dunia sebelum kematian menjemput.”

Daripada hadis tersebut, Rasulullah SAW menjelaskan bahawasanya perbuatan menderhakai ibu bapa layak disegerakan azabnya oleh Allah Taala sebelum ajal.

Walaupun kita tidak dapat pastikan cerita rakyat “Si Tanggang” itu benar atau dongengan, akidah mengisyaratkan kepada kita bahawasanya perkara itu tidak mustahil dan sangat mudah bagi Allah SWT.

Dalam keadaan lain, Allah Taala juga boleh mendatangkan azab dengan mentakdirkan si pelaku pula mendapat anak yang derhaka. Lebih teruk lagi, Allah memberikan keluasan rezeki seperti Qarun, yang menyebabkan si pelaku lalai dan akhirnya dihinakan oleh Allah. Na’udzu billahi min dzalik.

Terlalu banyak kemungkinan-kemungkinan yang boleh berlaku kepada kita dengan kehendak Allah SWT. Oleh itu, kita haruslah sentiasa memperingatkan diri kita supaya mematuhi agama terutama dalam kepatuhan serta berlaku ihsan kepada kedua ibu bapa.

Sabda Nabi Muhammad SAW, seperti yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim:

“Apa yang aku larang hendaklah kalian menghindarinya, dan apa yang aku perintahkan maka hendaklah kalian laksanakan semampu kalian.”