Martabat ibu menurut al-Quran dan hadis

Wanita Aimy Azhary
Pendapat oleh Aimy Azhary
Martabat ibu menurut al-Quran dan hadis
Martabat ibu menurut al-Quran dan hadis © Antonella865 | Dreamstime.com

Islam mengangkat martabat ibu ke tempat yang sangat tinggi dan perkara ini dibenarkan melalui sumber wahyu yang agung. Peranan ibu dalam melahirkan, menjaga dan mendidik seseorang adalah sebuah tanggungjawab yang sangat besar dan memerlukan sepenuh keringat untuk melakukannya.

Pengiktirafan tentang kemuliaan ibu bukan sahaja datang daripada naluri dan saranan kemanusiaan, bahkan diabadikan di dalam al-Quran sebagai sebuah mesej betapa istimewanya seorang insan yang bergelar ibu.

Sumber Al-Quran

Antara ayat Al-Quran yang mengisyaratkan kemuliaan seorang ibu ialah firman Allah Taala dalam surah Al-Isra’, 17 ayat 23:

“Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan ‘Ha’, dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia.”

Dalam surah Luqman, ayat 14-15; Allah SWT mewasiatkan manusia supaya taat kepada ibu serta mengenang jasa mereka. Firman Allah:

“Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan).”

Sumber hadis

Antara hadis yang masyhur menceritakan tentang martabat ibu berbanding bapa, ialah sabda Nabi Muhammad SAW yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a:

“Ada seorang lelaki datang kepada Rasulullah SAW dan bertanya: ‘Wahai Rasulullah, siapakah orang yang paling berhak aku perlakukan dengan baik?’ Rasul pun menjawab: ‘Ibumu’. ‘Lalu siapa lagi?’, ‘Ibumu’. ‘Siapa lagi’, ‘Ibumu’. ‘Siapa lagi’, ‘Ayahmu’.”

Terdapat juga sebuah hadis yang melebihkan amalan berbakti kepada kedua ibu bapa lebih tinggi daripada berjihad di jalan Allah SWT (dalam situasi tertentu). Imam Ahmad meriwayatkan, seorang sahabat bernama Mu’awiyah bin Jahimah telah datang kepada Rasulullah SAW lalu berkata:

“Wahai Rasulullah, aku ingin berperang, dan aku datang untuk meminta petunjukmu.” Nabi SAW bersabda, “Adakah engkau memiliki ibu?”, “ya” “Dampingilah dia, kerana sesungguhnya Syurga di bawah kedua kakinya.”

Kesimpulannya, ibu mempunyai martabat yang tinggi di sisi Islam. Umat Islam yang masih mempunyai ibu haruslah menggunakan peluang sebaiknya dengan berbakti kepada mereka kerana mereka adalah antara jalan mudah untuk kita ke syurga.

Enjoy Ali Huda! Exclusive for your kids.