Martabat wanita dalam Islam

Kepercayaan Contributor 05-Jun-2020
Pengusaha kraftangan wanita © Dinictis | Dreamstime.com

Kaum wanita adalah peneman dan pelengkap bagi kaum lelaki. Wanita telah menjadi pelengkap hidup lelaki sejak dari Siti Hawa a.s. dijadikan oleh Allah SWT dari tulang rusuk Nabi Adam a.s. lagi. Pada zaman jahiliah, wanita dilayan tanpa nilai kemuliaan. Lebih dahsyat, bayi perempuan turut ditanam hidup-hidup.

Masyarakat Jahiliah Arab sangat benci dan malu jika mendapat zuriat wanita. Justeru, mereka menanam bayi perempuan hidup-hidup dan membunuh hanya kerana rasa malu dan tidak mahu dihina orang lain. (Rujuk Dustur al-Usrah fi Zilal al-Quran, 1987)

Firman Allah SWT dalam surah An-Nahl, ayat 58:

“Apabila dikhabarkan kepada mereka dengan kelahiran anak perempuan, maka berubahlah wajah mereka menjadi warna hitam kerana menahan kemarahan. Lalu disembunyikan berita itu disebabkan buruknya perkara itu. Justeru, dia berkira-kira sama ada untuk terus menjaganya dengan penuh kehinaan atau menguburkannya sahaja. Alangkah buruknya apa yang dilakukan itu.”

Islam telah mengembalikan maruah wanita di tempat yang sepatutnya. Islam telah meletakkan peranan wanita dengan lebih jelas setelah pembentukan kerajaan Islam di Madinah. Mereka bukan lagi sekadar pengembala, pembawa malang dan manusia hina, tetapi menjadi sayap kiri perjuangan Islam.

Manakala di sisi perjuangan Islam, golongan wanita banyak berjasa dan berdiri teguh di belakang tentera Islam. Siti Khadijah r.a. sendiri misalnya, menyumbangkan harta kekayaannya untuk perjuangan agama Islam.

Berdasarkan ayat Al-Quran, Allah SWT meletakkan martabat sama di sisi lelaki dan tidak membezakan darjat mereka. Firman Allah dalam surah An-Nisa, ayat 19:

“Wahai orang-orang yang beriman, tidak halal bagi kamu mempusakai wanita dengan jalan paksa dan janganlah kamu menyusahkan mereka kerana hendak mengambil kembali sebahagian daripada apa yang kamu berikan kepadanya, terkecuali bila mereka melakukan pekerjaan keji yang nyata. Dan bergaullah dengan mereka secara patut. Kemudian bila kamu tidak menyukai mereka, (maka bersabarlah) kerana mungkin kamu tidak menyukai sesuatu, padahal Allah menjadikan padanya kebaikan yang banyak”.

Kaum lelaki haruslah mengambil teladan daripada cara Rasulullah SAW menyantuni dan mengangkat martabat wanita. Sayangi dan lindungilah kaum wanita. Angkatlah martabat mereka sebagaimana yang telah ditetapkan oleh agama Islam.