Marvel Studios: Ten Year of Heroes Kini Di Kuala Lumpur

Suka Rahayu Mat Nah 05-Jul-2019

Jika anda peminat tegar atau fanatik kepada watak-watak adiwira hasil imaginasi Marvel Studios, pasti anda sudah tahu tentang pameran Marvel Studios: Ten Year of Heroes yang kini sedang berlangsung di level 10 Pavilion Elite.

Pameran itu berdasarkan 23 buah filem di bawah Marvel Cinematic Universe (MCU) terbitan Marvel Studios sejak 2008 seperti Iron Man, The Incredible Hulk, Iron Man 2, Thor, Captain America: The First Avenger, Marvel’s The Avenger ,Captain America: Civil War, Doctor Strange, Guardians of the Galaxy Vol. 2, Spider-Man: Homecoming, Thor: Ragnarok, Black Panther, Avengers: Infinity War, Ant-Man and the Wasp, Captain Marvel, Avengers: Endgame dan Spider-Man: Far From Home.

Pameran yang dilancarkan secara rasmi oleh Tun Dr. Mahathir bin Mohamad dan Tun Dr. Siti Hasmah pada 27 Jun lalu ini dibuka pada orang ramai dari jam 10 pagi hingga 10 malam sehingga 27 Oktober 2019.

Jadi boleh rancang masa untuk melihat sendiri tarikan yang julung-julung kali diadakan di Malaysia. Tiket-tiket dijual pada harga RM48 untuk dewasa dan RM28 untuk kanak-kanak.

Bagaimanapun, anda mesti membawa MyKad untuk mendapatkan harga ini. Jika tidak, harga tiket untuk bukan pemegang MyKad akan dikenakan iaitu RM58 untuk dewasa dan RM38 untuk kanak-kanak.

Jadi, apa yang menarik tentang pameran Marvel ini? Apa yang boleh dijangkakan?
Salah satunya, anda boleh melihat sendiri bagaimana kostum dan props sebenar yang digunakan oleh setiap karakter di dalam filem-filem Marvel.

Pasti anda kagum apabila boleh melihat sendiri segala kostum asal yang digunakan oleh setiap pelakon atau adiwira. Tidak cukup dengan itu, anda juga boleh melihat senjata yang digunakan oleh adiwira Marvel ini.

Antara kelengkapan dan senjata menarik yang boleh dijanjikan termasuklah ‘arc reactor’ Iron Man, penukul ikonik Thor Mjolnir dan Stormbreaker, serta Scepter milik Loki.

Terdapat 10 galeri kesemuanya iaitu Iron Man, Captain America, Thor, The Avengers, Guardians Of Galaxy, Black Panther, Ant-Man, Dr Strange, Captain Marvel dan The Collector’s Museum.

Setiap galeri ini memberi peluang kepada pengunjung untuk mengetahui selok-belok setiap adiwira Marvel kegemaran masing-masing.

Lesen pameran Marvel Studios: Ten Year of Heroes ini dipegang The Walt Disney Company Asia Tenggara selain mendapat kerjasama pelbagai jenama termasuk Crave Alive, Beast Kingdom, Samsung Malaysia, Maybank dan KLOOK.

Kredit foto : Marvel Studios