Masih ramai ingkar arahan PKPB

Kehidupan Chan Abdullah 24-Mei-2020
Sekatan jalan raya sedang beroperasi © Abdul Razak Abdul Latif | Dreamstime.com

Tanggal 1 Syawal telahpun tiba. Ketika ini perintah kawalan pergerakan (PKP) telah memasuki hari ke 68. Perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) pula telah memasuki hari ke 21.

Walaupun sudah lebih dua bulan kerajaan mengisytiharkan PKP, masih ada lagi segelintir rakyat Malaysia yang tidak mematuhi arahan yang telah ditetapkan. Ketika PKPB diumumkan, pasar raya telah kembali dibanjiri pengunjung, Ada juga ibu bapa yang mula membawa anak-anak kecil bersama. Yang lebih menyedihkan, sudah ramai yang ke sana, ke sini tanpa keperluan. Topeng muka juga sudah tidak digunakan oleh segelintir individu ketika keluar rumah.

Ketika PKPB mula diumumkan juga, pihak berkuasa telah memaklumkan masih ada ratusan serta ribuan kes tangkapan ingkar PKPB hampir setiap hari. Lebih parah apabila pengumuman mengenai larangan merentas negeri sewaktu hari raya diumumkan kerajaan, ribuan individu mencuba nasib untuk pulang ke kampung halaman masing-masing tanpa kebenaran.

Pada 23 Mei 2020, sebanyak 1,158 kenderaan yang cuba merentas negeri atas alasan mahu pulang ke kampung telah diarahkan berpatah balik. Pada hari sebelumnya sebanyak 1,613 kenderaan yang cuba merentas negeri telah diarahkan berpatah balik oleh Polis di Raja Malaysia (PDRM).

Pihak PDRM telah mengadakan lebih 150 sekatan jalan raya rentas sempadan negeri dan memeriksa lebih 150,000 kenderaan hampir setiap hari.

Mengikut maklumat yang diberikan, Selangor merupakan negeri yang mencatatkan bilangan tertinggi kesalahan cubaan merentas negeri. Melaka dan Negeri Sembilan pula menduduki tempat kedua dan ketiga dalam senarai tersebut.

Pada 23 Mei 2020, pihak Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai PDRM telah membuat 97,752 jumlah pemeriksaan bagi memantau dan memastikan Prosedur Operasi Standard (SOP) PKPB dipatuhi sepenuhnya. Hasil pemeriksaan, PDRM telah menahan sejumlah 156  individu dan mereman 50 atas kesalahan melanggar SOP. Manakala PDRM telah mengeluarkan kompaun kepada 106 individu atas kesalahan melanggar SOP.

Pelanggaran SOP dan juga PKPB ini atas apa jua alasan adalah sangat mengecewakan. Atas sebab kegagalan segelintir individu mematuhi arahan dan garis panduan yang ditetapkan, penularan COVID-19 masih boleh berlaku.

Sebagai rakyat Malaysia dan seorang Muslim khususnya, haruslah kita taat dengan arahan pemerintah. Mematuhi perintah Ulil Amri pada perkara makruf adalah wajib. Marilah kita jalankan tanggungjawab bersama sebagai rakyat Malaysia. Sama-sama kita melawan penularan dan penyebaran wabak COVID-19. Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh.