Buletin SalamWebToday
Sign up to get weekly SalamWebToday articles!
Maafkan kami, ralat berlaku disebabkan oleh:
Dengan melanggan, anda bersetuju dengan Syarat dan Dasar Privasi SalamWeb
 Seni Buletin

Masjid Agung Demak pusat berkumpulnya Wali Songo

Masjid 21 Jan 2021
Md Wa'iz
Masjid Agung Demak pusat berkumpulnya Wali Songo
Masjid Agung Demak pusat berkumpulnya Wali Songo © Davira Suciati | Dreamstime.com

Masjid Agung Demak yang terletak di Jawa Tengah, Indonesia diiktiraf sebagai salah satu masjid tertua di seluruh Indonesia. Ia dianggarkan telah siap dibina pada tahun 1479 oleh kelompok Wali Songo yang terkenal.

Apakah kisah menarik di sebalik masjid bersejarah ini?

Ciri fizikal Masjid Agung Demak

Reka bentuk masjid ini masih tidak berubah sejak ia dibina ratusan tahun lampau. Ia juga memiliki pengaruh seni bina Jawa yang amat kuat.

Masjid ini dibina dengan menggunakan kayu balak, dan mempunyai bumbung bertingkat selain tidak mempunyai sebarang kubah. Seni bina bumbungnya yang berbentuk segi tiga merupakan satu bentuk asimilasi budaya dengan penduduk setempat yang kebanyakannya beragama Hindu pada ketika itu.

Masjid ini telah dibina oleh Raden Patah, Sultan Demak pertama bersama-sama dengan Wali Songo. Mengikut kajian sejarah, masjid ini dibina sejurus setelah Kerajaan Majapahit ditakluk oleh Kesultanan Demak.

Tujuannya adalah untuk menghilangkan saki baki pengaruh Kerajaan Majapahit selain menaikkan pengaruh kerajaan baharu iaitu Kesultanan Demak yang dipimpin oleh Raden Patah.

Masjid Agung Demak, tempat berkumpulnya Wali Songo

Masjid Agung Demak telah menjadi pusat atau lokasi pertemuan Wali Songo dalam misi mereka menyebarkan dakwah Islam di seluruh pulau Jawa.

Demak merupakan salah satu lokasi pertama perkembangan dan penyebaran Islam di Pulau Jawa. Proses penyebaran ini berlaku sekitar abad ke-11.

Menurut Buku ‘Babad Tanah Jawi’ yang ditulis oleh W.L. Olthof, dikatakan bahawa sebelum Masjid Agung Demak ini dibina, kawasan sekitarnya sudah menjadi pusat penyebaran Islam yang dipimpin oleh Sunan Ampel.

Pada ketika Raden Patah memeluk Islam dan tiba di Demak, Sunan Ampel beserta Wali Songo yang lain bersetuju untuk mengangkat beliau sebagai pemerintah Islam Demak yang pertama.

Simbol kekuasaan dan lokasi makam tiga Sultan Demak

Kesultanan Demak yang terbentuk setelah kejatuhan Kerajaan Majapahit amat memandang penting kedudukan Masjid Agung Demak ini.

Sunan Kalijaga telah menjadikan Masjid Agung Demak ini sebagai pusat peradaban dan penyebaran Islam di Pulau Jawa sekaligus sebagai lambang kekuasaan raja-raja Islam di Pulau Jawa.

Di perkarangan masjid ini, terdapat beberapa buah makam iaitu makam-makam Kesultanan Demak. Di sini terdapat makam Sultan Demak yang pertama iaitu Raden Patah dan juga makam Syeikh Maulana Maghribi.

Selain itu, makam kedua-dua anak Raden Patah juga terdapat di sini, iaitu Pati Unus yang merupakan Sultan Demak kedua dan Sultan Trenggono, Sultan Demak ketiga. Selain itu, terdapat juga beberapa buah perkuburan lain dalam kompleks pemakaman diraja ini.

Peranan masjid yang fleksibel

Apabila kita melihat kepada sejarah pembinaan dan penggunaan masjid ini, ia sangat berperanan penting bukan sahaja dalam hal-hal agama, tetapi juga pentadbiran.

Masjid Agung Demak mempunyai siginifikannya yang tersendiri dalam penubuhan Kesultanan Demak yang pertama. Selain itu, ia juga menjadi pusat penyebaran dakwah Islam utama di Pulau Jawa.

Berdirinya masjid ini bukan hanya sebagai tempat beribadat, tetapi juga sebagai pusat dakwah, dan pusat pertemuan masyarakat. Ia juga sebagai simbol kekuasaan raja-raja Islam di Pulau Jawa.