Masjid Baitul Mukarram, Dhaka muat 40 ribu jemaah

Dunia Hanita Hassan 12-Sep-2020
dreamstime_s_117549487
Masjid Negara Baitul Mukarram, Dhaka, Bangladesh © Akram Khan | Dreamstime.com

Baitul Mukarram yang terkenal adalah masjid negara bagi Bangladesh.  Masjid ini terletak di Dhaka, sebuah bandar yang sibuk.  Dhaka juga merupakan bandar terbesar di negara ini dan dihuni oleh kira-kira 11 juta penduduk.  Bandar ini dikenali dunia sebagai salah satu bandar paling ramai penduduknya.

Baitul Mukarram memiliki kapasiti yang sangat luas dan boleh menampung sehingga 40 ribu jemaah.  Pada tahun 1950-an, peningkatan jumlah penduduk di bandar ini telah menuntut pembinaan masjid baharu yang lebih besar.

Arkitek Abdulhusein M. Thariani telah membuat reka bentuk kompleks masjid ini.  Keputusan membina masjid ini berlaku pada tahun 1959 ketika Haji Abdul Latif Bawany, pemilik Bawany Jute Mills mengemukakan cadangan kepada Mejar Jeneral Omrao Khan, panglima angkatan tentera Pakistan Timur ketika itu. Khan bersetuju dengan cadangan itu dan bersedia untuk membantu.  Berikutan itu, Jawatankuasa Masjid Baitul Mukarram ditubuhkan bagi memantau perjalanan projek pembinaan masjid tersebut.

Sebidang tanah seluas lapan ekar yang terletak di antara Dhaka baharu dan Dhaka lama telah dipilih untuk pembinaan masjid ini, lokasi yang berhampiran dengan kawasan perniagaan di bandar ini. Sebuah kolam besar yang dinamakan kolam Paltan juga turut dibangunkan. Semasa kerja-kerja pembinaannya pada tahun 1960, air turut dialirkan ke dalam kolam Palton untuk dipenuhkan selari dengan pembinaan masjid dan perasmian telah disempurnakan oleh Presiden Pakistan ketika itu, Ayub Khan.

Solat pertama di Baitul Mukarram berlaku pada hari Jumaat 25 Januari 1963. Projek masjid ini meliputi bangunan kedai, pejabat dan perpustakaan.  Masjid ini didirikan pada platform yang sangat tinggi.  Bangunan ini terdiri daripada lapan tingkat dengan ketinggian 99 kaki persegi. Ruang solat utama yang mengagumkan berkeluasan 26,517 kaki persegi, manakala tingkat lain di sebelah timur berkeluasan 1.840 kaki persegi. Ruang wuduk ditempatkan di kedua-dua sayap utara dan selatan masjid.

Seni bina Baitul Mukarram terdiri daripada pelbagai ciri kontemporari dan juga  ciri-ciri tradisional Mughal.  Terdapat dua buah laman bagi membantu cahaya dan udara segar masuk ke ruang solat. Ciri utama masjid ini adalah dengan menerapkan aspek moden, iaitu tanpa melibatkan hiasan dan perkakasan yang banyak.

Beranda dibina mengelilingi ruang solat masjid ini pada tiga sisi bangunan.  Kawasan tamannya pula setanding dengan taman gaya Mughal dengan deretan air pancut.  Reka bentuk masjid ini serupa dengan binaan Kaabah. Seni bina ini berlainan dari kebanyakan masjid yang terkenal di Bangladesh.

Imam pertama di masjid ini ialah Moulana Abdur Rahman Bekhud, seorang ulama Islam.  Beliau berkhidmat sebagai imam antara tahun 1963-1971. Imam yang berkhidmat paling lama di masjid ini ialah Ubaidul Haq, menjadi imam masjid sehingga dia meninggal dunia tahun 2007. Kerajaan Arab Saudi membiayai perbelanjaan pembinaan tambahan Baitul Mukarram pada tahun 2008.