Masjid Buluh pilihan musafir

Uncategorized Syed Safri 25-Jan-2020

Indah dan uniknya ‘Masjid Buluh’ yang hampir keseluruhannya dibina menggunakan buluh berkualiti dengan seni yang halus. Inilah dia masjid pertama seumpamanya yang dibina di Kelantan. Masjid ini terletak dalam daerah Gua Musang di hamparan jalan Gua Musang-Kuala Krai yang berdekatan dengan kawasan gua batu kapur. Ia sentiasa menarik perhatian dan kunjungan orang ramai, terutamanya pengguna jalan raya yang bermusafir dan berhenti untuk bersembahyang dan berehat seketika.

Masjid Buluh ini dibina oleh pemaju Bandar Utama Gua Musang. Ia lengkap dengan kemudahan asas dan tempat letak kereta yang luas, menjadikannya pilihan tepat bagi pengguna jalan raya yang dalam perjalanan ke destinasi masing-masing. Keselesaan masjid itu juga mendapat tempat di hati orang ramai terutamanya bagi yang balik ke kampung pada musim perayaan.

Nur Ayuni Ismail, 33 tahun yang ditemui hari ini berkata, sebagai salah seorang pengguna jalan raya yang kerap melalui jalan Gua Musang-Kuala Krai, Masjid Buluh telah menjadi tempat persinggahan tetapnya sejak ia siap dibina lebih kurang setahun yang lalu. Keselesaan bangunan dan ruang serta rekaan unik masjid sentiasa menarik perhatiannya. Tambahnya lagi, ruangan dan persekitaran masjid begitu selesa dan tenang, sesuai untuk menunaikan solat.

Masjid Buluh yang dibuka 24 jam ini sudah pastinya menjadi tumpuan menjelang cuti perayaan Tahun Baru Cina. Pengguna jalan raya yang dalam perjalanan pulang ke kampung tidak akan teragak-agak untuk berhenti rehat bersama keluarga. Menurut Abdullah Hakim, 51 tahun, dia teruja untuk berhenti menunaikan solat di masjid ketika dalam perjalanan pulang ke kampung di Kelantan. Beliau menambah, masjid ini jelas unik, menarik dan binaan yang sepenuhnya buluh juga kelihatan kuat dan tahan lama.