Masjid Cologne, masjid moden terbesar di negara Jerman

Masjid Md Wa'iz
Md Wa'iz
Masjid Cologne, masjid moden terbesar di negara Jerman
Masjid Cologne, masjid moden terbesar di negara Jerman © Marcodibella | Dreamstime.com

Masjid Cologne (Cologne Central Mosque) yang terletak di Cologne, Jerman diiktiraf sebagai masjid terbesar di negara itu. Walaupun rancangan pembinaannya sebelum ini mendapat tentangan ramai pihak, namun ia akhirnya berjaya disiapkan.

Berikut adalah sedikit maklumat mengenai masjid utama ini.

Sejarah awal pembinaan Masjid Cologne

Masjid Cologne dicadangkan untuk dibina bagi memuatkan sekitar 2000 hingga 4000 jemaah. Sumber pembinaan masjid ini telah datang daripada pelbagai pihak termasuklah Diyanet Isleri Turk Islam Birligi (DITIB), yang merupakan pihak berkuasa agama Islam di Turki.

Selain itu, ia juga menerima sumbangan derma daripada 884 persatuan Muslim dari seluruh dunia. Bukan itu sahaja, pihak Gereja Katolik St. Theodore di Cologne juga membantu dalam pengumpulan dana pembinaan masjid ini.

Masjid ini telah direka bentuk oleh seorang arkitek bernama Gottfried Bohm yang sebelum ini banyak terlibat dengan pembinaan gereja.

Seni bina Masjid Cologne

Seni bina Masjid Cologne ini mempunyai pengaruh seni bina Uthmaniyyah. Masjid ini terkenal dengan cirinya yang mempunyai struktur kubah konkrit dan juga kaca. Kubah dan dinding bangunan masjid disambungkan bersekali, menjadikan bangunan ini kelihatan amat moden.

Bahagian kubah utama diapit oleh empat kubah kecil lain yang memperlihatkan seolah-olah tangan yang melindungi bahagian kubah utama secara abstrak. Masjid ini juga mempunyai menara konkrit yang tidak kelihatan seperti menara masjid yang biasa dilihat.

Masjid ini bukan sahaja mempunyai dewan solat, tetapi juga mempunyai beberapa fasiliti dan fungsinya yang lain. Ia mempunyai bazar atau lot kedai, dewan kuliah dan juga perpustakaan. Konsep seni bina masjid ini mengutamakan konsep keterbukaan di mana sesiapa sahaja boleh datang melihat dan melawat masjid ini.

Oleh sebab itu, binaan dinding kaca digunakan agar orang ramai boleh melihat secara jelas apa yang ada di sebalik dinding masjid daripada luar masjid. Selain itu, masjid ini juga mempunyai tangga besar terus daripada jalan yang seolah-olah menjemput orang ramai untuk datang melawat.

Tentangan dan kritikan terhadap pembinaannya

Pembinaan masjid seperti ini di Eropah tidak terlepas daripada tentangan dan kritikan. Sejak daripada awal perancangannya pada tahun 2007, ia telah ditentang oleh ramai pihak. Malah, terdapat beberapa protes yang dihadiri oleh ramai individu yang menentang projek pembinaan masjid ini.

Namun, berdasarkan undian orang awam mengenai rancangan Masjid Cologne ini, seramai 63% menyokong pembinaannya manakala 27% yang lain mahu saiz masjid dikecilkan. Pada tahun 2008, Cologne City Council telah membuat undian dan meluluskan pembinaan masjid ini.

Masjid ini telah siap dibina pada tahun 2017 dan dirasmikan pembukaannya oleh Presiden Turki sendiri.

Masjid moden di tengah kota Cologne

Kini, masjid ini tersergam indah di tengah-tengah kota Cologne. Ada yang menganggap bahawa seni bina masjid ini sebagai permulaan seni bina Jerman dalam pembinaan masjid.

Jika dilihat daripada di luar, ia tidak kelihatan seperti sebuah masjid kerana ia tidak langsung mempunyai ciri seni bina Islam di bahagian luar. Ini kerana masjid ini dibina dengan konsep moden dan minimalis sesuai dengan abad ia dibina.

Enjoy Ali Huda! Exclusive for your kids.