Masjid Djenne, Mali – masjid lumpur tertua dan terbesar di dunia

Dunia Md Wa'iz 30-Okt-2020
dreamstime_s_19776130
Masjid Djenne, Mali - masjid lumpur tertua dan terbesar di dunia © Trevkitt | Dreamstime.com

Tahukah anda, ada sebuah masjid di benua Afrika yang dibina sepenuhnya daripada lumpur? Ya, ia adalah Masjid Djenne yang terletak di negara Mali. Apa yang lebih menarik berkenaan masjid ini ialah, ia bukan sahaja diiktiraf sebagai masjid lumpur tertua di dunia tetapi juga bangunan lumpur terbesar di dunia.

Menarik bukan? Ketahui dengan lebih lanjut berkenaan sejarah masjid ini di bawah ini.

Masjid Djenne dibina sejak tahun 1300

Kajian sejarah mempercayai bahawa tarikh asal masjid ini dibina adalah antara tahun 1200 hingga 1300 Masehi. Dalam tahun 1828, seorang penjelajah berbangsa Perancis iaitu Rene Caillie telah menemui runtuhan masjid ini sewaktu beliau melawat Djenne.

Di awal penemuannya, masjid ini dibiarkan tidak terurus dan struktur keseluruhannya sudah hampir runtuh. Pada tahun 1906, ia kembali dibina semula oleh pentadbiran Perancis dan siap sepenuhnya setahun kemudian. Struktur yang dibina kembali pada ketika itu adalah apa yang dapat dilihat sehingga ke hari ini.

Bahan binaan daripada lumpur

Dinding masjid ini dibina dengan menggunakan bata yang dijemur dibawah cahaya matahari yang dipanggil sebagai Ferey. Selain daripada bata lumpur, ia turut menggunakan campuran pasir, simen dan juga batu kapur sebagai bahan pelekat bata.

Pada bahagian luar dinding masjid ini diletakkan atau dihias dengan pelepah-pelepah yang diambil daripada sejenis pokok palma. Pelepah ini bukan hanya dijadikan sebagai hiasa dinding luar semata-mata, tetapi juga digunakan sebagai perancah (scaffolding) ketika proses pembaikian yang dijalankan setiap tahun.

Pesta baiki masjid setiap tahun

Pada bulan April setiap tahun, akan ada satu hari khusus yang disebut sebagai Crepissage (plastering). Pada hari ini, keseluruhan dinding luar Masjid Djenne akan kembali diplaster semula dengan menggunakan lumpur sebelum tibanya musim hujan lebat.

Musim hujan biasanya akan tiba pada bulan Julai atau Ogos. Jadi, tujuan pemplasteran semula ini adalah bagi memastikan masjid ini dapat terus bertahan walaupun pada musim hujan lebat.

Apa yang menariknya, proses plaster masjid ini bukanlah dilakukan oleh kontraktor yang dibayar. Sebaliknya, kesemua penduduk tempatan akan berlumba-lumba melakukan plaster dinding masjid seperti sebuah pertandingan.

Setiap kumpulan daripada sebuah perkampungan akan berlumba dengan kumpulan-kumpulan lain untuk melakukan plaster di masjid ini. Mereka akan membawa lumpur yang dijunjung di kepala dengan menggunakan sejenis bakul kecil.

Walaupun mereka mungkin melakukannya secara cepat, kualiti plaster tersebut akan diselia dan dikawal oleh sejumlah 80 orang tukang batu senior. Kumpulan yang berjaya menyiapkan tugasan plaster mereka dengan pantas akan dianggap sebagai pemenang dan menerima sejumlah wang sebagai hadiah.

Diberikan status Tapak Warisan Dunia UNESCO

Seluruh ahli komuniti akan membantu kumpulan perkampungan mereka dengan peranannya yang tersendiri. Kaum wanita akan membawa air daripada sungai bagi membancuh campuran lumpur.

Lelaki dewasa pula bertanggungjawab membuat bancuhan lumpur yang terdiri daripada lumpur, air sungai, sekam padi, shea butter, serbuk baobab dan juga air. Kanak-kanak pula akan membawa bancuhan dari tempat bancuhan ke kawasan masjid untuk diplaster.

Keseluruhan kawasan Djenne termasuklah Masjid Djenne ini telah diberikan status sebagai Tapak Warisan Dunia oleh UNESCO pada tahun 1988. Masjid ini bukan saja bertindak sebagai simbol Bandar Djenne, tetapi juga bagi keseluruhan negara Mali.