Masjid Hassan II di Magribi – menaranya kedua tertinggi di dunia!

Masjid 02 Apr 2021 Contributor
Terkini oleh Md Wa'iz
Masjid Hassan II di Magribi - menaranya kedua tertinggi di dunia!
Masjid Hassan II di Magribi - menaranya kedua tertinggi di dunia! © Saiko3p | Dreamstime.com

Salah satu lokasi menarik yang ada di bumi Maghribi ialah bangunan Masjid Hassan II yang tersergam indah di tepi Laut Atlantik.

Apakah keistimewaan masjid ini? Sama-sama kita baca apa yang disediakan di bawah ini.

Raja Hassan II arahkan pembinaan Masjid Hassan II

Pada tahun 1980 sewaktu sambutan hari keputeraan Raja Hassan II, baginda menyatakan bahawa baginda ingin membina sebuah struktur yang menjadi monumen terkenal di Casablanca. Baginda turut menyatakan dengan jelas bahawa baginda ingin membina sebuah masjid di atas air.

Baginda kemudiannya mengarahkan pembinaan Masjid Hassan II. Rekaan masjid ini dibuat oleh seorang artikel Perancis yang menetap di Maghribi bernama Michel Pinseau.

Kerja-kerja pembinaan telah bermula pada 12 Julai 1986 dan masjid ini mengambil masa tujuh tahun untuk disiapkan. Pada kemuncak pembinaannya, seramai 1400 orang telah bekerja pada waktu siang dan 1100 yang lain pula bekerja pada waktu malam.

Struktur Masjid Hassan II

Hampir keseluruhan bahan binaan yang digunakan untuk membina masjid ini diperoleh daripada Maghribi sendiri. Hanya beberapa bahan sahaja yang diimport dari luar seperti tiang granit putih dan lampu candelier kaca dari Itali.

Untuk mencantikkan bangunan masjid ini, seramai 6000 individu telah ditugaskan untuk melakukan kerja-kerja tersebut. Ini termasuklah kerja-kerja mengukir, membuat acuan, dan mengecat jubin, batu, tiang dan lantai marmar.

Di bahagian luar bangunan masjid, ia dicantikkan lagi dengan penggunaan gangsa, titanium dan juga granit. Secara keseluruhannya, seramai 35,000 orang pekerja telah terlibat dalam pembinaan masjid ini sehingga ia siap untuk digunakan. Masjid ini boleh menampung 25,000 orang jemaah dalam dewan solat utama dengan tambahan 80,000 orang jemaah di bahagian dataran luar masjid.

Jika kita melihat kepada saiz jemaah, ia boleh dikatakan sebagai antara masjid yang terbesar di dunia daripada segi kapasiti jemaah. Namun, ia bukanlah sesuatu yang menghairankan kerana mengikut pelan asal, saiz masjid ini sepatutnya lebih besar daripada saiz sekarang.

Ini kerana, Raja Hassan II pernah menyuarakan hasrat untuk membina masjid kedua terbesar di dunia selepas Masjidil Haram. Namun, disebabkan kekangan kewangan, saiz pelan masjid dikurangkan mengikut kemampuan pembiayaan.

Keunikan menara masjid ini, ada laser!

Masjid Hassan II ini tidak mempunyai sebarang kubah dan hanya memiliki sebuah menara masjid. Dengan ketinggian sebanyak 210 meter, ia adalah menara masjid kedua tertinggi di dunia.

Sebelum ini, menara ini pernah memegang rekod dunia sebagai menara masjid tertinggi di dunia. Namun, selepas menara Masjid Besar Algeria siap dibina dengan ketinggian 265 meter, maka menara masjid ini telah berada pada kedudukan kedua. Namun, dikatakan menara masjid ini masih lagi memegang rekod sebagai menara masjid terbesar di dunia.

Di puncak menara masjid ini, terdapat sebuah laser yang akan mula memancar pada waktu petang. Ia dipancarkan ke arah Mekah sebagai arah panduan kiblat. Laser pada menara masjid ini boleh dipancarkan sejauh 30 kilometer.

Kaya dengan seni bina asli Maghribi

Seni bina masjid ini amat kaya dengan seni bina tradisional Maghribi dengan gabungan beberapa seni bina masjid terkenal di seluruh dunia.

Masjid ini turut mempunyai muziumnya yang tersendiri untuk memahami sejarah masjid ini dengan lebih dekat. Sememangnya Masjid Hassan II amat mengagumkan ditambah lagi dengan kedudukannya di tepi Laut Atlantik.