Masjid Jamek Pattani – Masjid utama di Thailand

Masjid 08 Mac 2021 Md Wa'iz
Pilihan oleh Md Wa'iz
Masjid Jamek Pattani - Masjid utama di Thailand
Masjid Jamek Pattani - Masjid utama di Thailand © Anakeseenadee | Dreamstime.com

Terdapat sebuah binaan masjid di Thailand yang digelar sebagai ‘Taj Mahal Thailand’. Masjid tersebut ialah Masjid Jamek Pattani atau juga disebut sebagai Pattani Central Mosque.

Apakah keunikan masjid di Pattani ini?

Sejarah pembinaan Masjid Jamek Pattani

Pada tahun 1954, Kerajaan Thailand menyedari kepentingan agama Islam bagi penduduk Pattani yang kebanyakannya merupakan orang-orang Islam.

Memandangkan Pattani bersama empat wilayah selatan lain merupakan wilayah dengan majoriti penduduk Muslim, Kerajaan Thailand berpendapat bahawa adalah munasabah untuk membina sebuah masjid utama bagi kelima-lima wilayah ini.

Masjid Jamek Pattani ini telah mula dibina pada tahun 1954 dan ia mengambil masa selama sembilan tahun untuk menyiapkannya. Setelah ia disiapkan pada tahun 1963, Perdana Menteri Thailand pada ketika itu telah hadir dan merasmikan pembukaan masjid ini.

Masjid ini kemudiannya diserahkan secara rasmi kepada penduduk Pattani dan diberikan nama Masjid Jamek Pattani.

Masjid Jamek Pattani mendapat jolokan ‘Taj Mahal Thailand’

Disebabkan seni binanya yang unik dan menyerupai seni bina Taj Mahal di India, bangunan masjid ini digelar sebagai ‘Taj Mahal Thailand’.

Masjid ini mempunyai sebuah kubah besar selain beberapa kubah kecil yang mengelilingi kubah utama. Kesemua kubah ini diwarnakan dengan warna hijau gelap. Ia mempunyai empat buah menara di empat penjuru masjid. Pada awal pembinaan masjid ini, hanya terdapat dua buah menara sahaja.

Dua buah menara ini telah digunakan sebagai menara gendang dengan diletakkan gedang di puncak menara tersebut. Apabila telah masuk waktu solat, maka gendang akan dipukul di puncak menara masjid tersebut.

Kini, budaya ini telah tiada dan digantikan dengan penggunaan pembesar suara. Di hadapan pintu masjid pula terdapat sebuah kolam yang agak besar, menampakkan reflkesi masjid ini dalam air kolam pada waktu siang.

Pernah disuruh untuk dibaik pulih oleh Raja Thailand

Pada 12 Oktober 1993, Raja Thailand bersama permaisurinya telah berkenan untuk berangkat melawat penduduk di kawasan Pattani. Raja Thailand ingin bertemu dengan pemimpin tempatan serta agamawan di masjid ini.

Semasa pertemuan itu, Raja Thailand telah meminta Menteri Pendidikan Thailand yang pada ketika itu turut mengiringinya, agar membaik pulih bangunan Masjid Jamek Pattani.

Menteri Pendidikan Thailand kemudiannya telah menjadikan rancangan baik pulih masjid ini sebagai projek sempena meraikan ulang tahun jubli emas pemerintahan Raja Thailand. Projek baik pulih yang dijalankan telah melibatkan pembesaran ruang solat serta penambahan dua buah menara azan yang baharu.

Masjid besar ini telah menjadi satu identiti keagamaan bagi majoriti penduduk Muslim di Selatan Thailand. Pembinaannya bertujuan menjadikan masjid ini sebagai masjid utama orang Islam di Thailand.

Boleh dikatakan bahawa Masjid Jamek Pattani juga berperanan sebagai masjid Negara Thailand. Seni bina masjid ini jelas menunjukkan pengaruh agama Islam yang menapak dengan kuat di Selatan Thailand sejak dahulu hingga sekarang.