Masjid Kampung Hulu, Melaka

Cerita Utama Minggu Ini Hanita Hassan 05-Sep-2020
dreamstime_s_49769580
Masjid Kampung Hulu, Melaka © Aisyaqilumar | Dreamstime.com

Masjid Kampung Hulu, Melaka yang dibina pada tahun 1728 adalah antara masjid tertua di Malaysia selepas Masjid Kampung Laut di Kelantan dan Masjid Peringgit di Melaka. Masjid ini adalah antara 56 buah masjid yang diwartakan oleh Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM).

Pembinaan Masjid Kampung Hulu telah ditugaskan kepada seorang Kapitan  mualaf dari China iaitu Datuk Harun @ Aroom Abdullah. Reka bentuk masjid ini diilhamkan oleh Kapitan Harun selepas beliau melawat Masjid Abdurrahman di Banda Aceh. Ia dibina berasaskan kayu dan atap nipah sebelum diubah suai oleh Wazir Al-Sheikh Omar Hussain Al-Attas dengan binaan mozek dan kayu Belian.

Bumbungnya berlapis tiga dengan bentuk seakan-akan limas (tirus ke atas seperti bentuk piramid).  Ruang di antara lapisan bumbung membolehkan udara dan cahaya masuk ke dalam ruang masjid. Lapisan paling atas bumbung masjid bererti iman  kepada Allah SWT, lapisan kedua bererti hubungan manusia dengan manusia dan lapisan ketiga membawa maksud alam semula jadi yang menghubungkan manusia dengan Pencipta.

Struktur bumbung disokong empat batang tiang seri di tengah-tengah masjid. Hiasan dalaman seperti jubin dan seramik dari  kerajaan China Dinasti Ching juga digunakan.   Ukiran dan seni bina masjid berasaskan faktor alam semula jadi seperti tumbuh-tumbuhan terutama di bahagian dinding dan bumbung.  Pada hujung bumbung terdapat ukiran berkonsepkan sulur bayur, mahkota dan awan larat.

Pada ruang atas pelantar di atas pintu gerbang terdapat sebuah beduk yang berusia ratusan tahun, dua meriam kecil di kaki tangga dan air  kolah yang dikatakan mujarab menjadi penawar semua jenis penyakit.  Beduk yang diperbuat daripada sejenis kayu keras dan kulit lembu yang diganti dengan kulit kambing itu mampu melantunkan getaran sejauh tiga kilometer sehingga ke Kampung Morten.

Beduk dibunyikan sebagai tanda masuknya waktu solat atau menguar-uarkan berita kematian.  Hari ini beduk masih digunakan tetapi hanya pada bulan Ramadan bagi mengejukan penduduk Islam sekitarnya bersahur, sewaktu berbuka puasa dan imsak.

Di masjid ini juga terdapat kira-kira 24 lampu gasolin antik yang masih elok dan tergantung di syiling masjid.  Dahulu, lampu gasolin digunakan sebagai cahaya untuk menerangi aktiviti malam para jemaah di masjid ini.  Ia menggunakan minyak tanah atau minyak kelapa sebagai bahan bakar.

Masjid yang berkapasiti 400 jemaah itu masih berdiri di tapak asal dan tidak diubah suai dari segi struktur bangunan bagi mengekalkan sejarah asal binaannya.  Sebuah makam Sayyid Abdullah, seorang wali dan ulama besar terdapat di dalam kawasan masjid.

Melaka pada zaman kegemilangannya sekitar abad ke-15 dan abad ke-16 memainkan peranan penting sebagai pusat penyebaran Islam di Nusantara.  Banyak masjid dan surau didirikan untuk kegunaan rakyat dan pedagang yang berdagang di Melaka. Kestabilan politik sebagai empayar dan pusat perdagangan terbesar dunia dimanfaatkan untuk menukar kepercayaan asal penduduk tempatan daripada Hindu-Buddha kepada Islam.

Islam tidak disebarkan melalui peperangan, tetapi secara aman dengan hati terbuka.  Ia adalah hasil gerakan dakwah yang dilakukan oleh para ulama.  Kehadiran Makhdum Syed Abdul Aziz telah menyemarakkan majlis ilmu terutama di istana, masjid dan juga surau.  Ia turut melibatkan Sultan, kerabat istana, pembesar dan rakyat jelata.

Penyebaran dakwah bukan sahaja berlaku kepada penduduk tempatan tetapi juga para pedagang.  Selain itu kegiatan menyalin dan menterjemah kitab turut dilakukan di Melaka terutama kitab-kitab bahasa Arab yang sukar difahami.

Semoga kita terus istiqamah untuk beribadat di masjid dan menyebarkan dakwah kepada semua.