Masjid-masjid bersejarah dan menarik di Kelantan

Negeri Kelantan yang dikenali juga sebagai negeri Serambi Mekah ini mempunyai banyak masjid-masjid yang unik dan cantik. Ia juga selalu dikunjungi oleh masyarakat untuk solat dan melaksanakan aktiviti-aktiviti keagamaan mahupun kemasyarakatan.
Selain daripada itu, masjid-masjid di Kelantan juga mempunyai banyak sejarahnya yang tersendiri.
Masjid-masjid bersejarah dan menarik di Kelantan
Kebanyakan daripada masjid-masjid dalam artikel ini adalah sangat menarik untuk diketahui dan dikunjungi oleh para pembaca yang suka mengimarahkan rumah-rumah Allah SWT.
Masjid Muhammadi, Kota Bharu
Masjid Muhammadi dibina pada tahun 1867, dikenali juga sebagai Masjid Besar Kota Bharu. Ia merupakan pusat penyebaran ajaran Islam kepada masyarakat setempat. Ilmuwan seperti Tok Kenali pernah mengajar ilmu agama di masjid ini.
Masjid ini dibina secara sederhana dan tidak bermewah-mewah namun meriah dengan jemaah yang datang solat dan belajar agama. Menara utamanya diletakkan jam merupakan simbolik penekanan pengurusan masa dalam kehidupan.
Masjid Sultan Ismail Petra, Kubang Kerian
Masjid ini disempurnakan pembukaannya oleh YMM Tuanku Ismail Petra pada 8 Safar 1413 Hijrah bersamaan 7 Ogos 1992 Masehi. Ia juga digelar Masjid Cermin dalam kalangan masyarakat setempat kerana senibinanya yang banyak menggunakan cermin.
Seramai 10,000 orang jemaah boleh ditampung oleh masjid ini. Ia juga merupakan antara masjid tercantik di Malaysia pada ketika ia dibina.
Masjid Beijing, Rantau Panjang
Masjid Beijing merupakan gelaran daripada masyarakat setempat kerana seni binaannya yang menyerupai senibina bangunan Cina lama. Bangunan ini juga berwarna merah dan ia menyerupai Masjid Niujie di Beijing, China yang dipercayai berusia 1000 tahun.
Nama sebenar masjid ini ialah Masjid Jubli Perak Sultan Ismail Petra. Masjid ini terletak di Rantau Panjang iaitu tempat membeli-belah Bebas cukai yang masyhur di Kelantan. Biasanya pelancong yang datang membeli-belah di sini tidak akan melepaskan peluang melawat Masjid Beijing ini.
Masjid Kampung Laut, Kota Bharu
Masjid Kampung Laut merupakan masjid tertua di Malaysia dan dibina pada abad ke 18. Kelantan menjadi tumpuan orang-orang Campa untuk belajar agama Islam. Dikatakan masjid ini dibina oleh mereka disebabkan mereka bernazar andainya mereka selamat daripada karam di laut, mereka akan membina masjid.
Suatu yang menarik, masjid ini dibina tanpa paku. Pembinaannya hanya menggunakan pasak kayu untuk menyambungkan bahagian-bahagiannya.
Masjid Ar-Rahman Pulau Gajah, Kota Bharu
Masjid ini dibina pada tahun 2016 untuk menampung jumlah jemaah yang makin bertambah di Pulau Gajah, Sabak. Seni bina masjid ini menggabungkan seni lima negara termasuk seni bina Melayu.
Sebagai contoh, pintu masuk masjid dari Yaman, tiang tempat imam solat daripada Maghribi, set geduk dari Indonesia, lakaran buatan di tengah siling daripada Turki, dan hiasan-hiasan lain dari negara-negara terbabit.
Masjid untuk diimarah
Masjid dibina untuk diimarahkan bukan untuk bermegah-megah yang mana masjid paling cantik. Beruntunglah orang yang hatinya terikat untuk selalu solat berjemaah di masjid.
Mereka ini tergolong dalam golongan yang akan mendapat perlindungan Allah Taala di hari kiamat kelak.