Masjid Selat Melaka

Singgah Hanita Hassan 08-Sep-2020
dreamstime_s_36414084
Masjid Selat Melaka © Littlewormy | Dreamstime.com

Masjid adalah sebahagian daripada produk pelancongan Muslim yang sering mendapat tempat di hati para pelancong di seluruh dunia.  Selain berperanan sebagai tempat beribadah dan pusat ilmu serta pembangunan ummah.  Fungsinya yang menyeluruh telah menjadikan rumah Allah SWT ini sentiasa menjadi tumpuan ramai.

Pada tahun 2017, National Geographic dan The Telegraph memberi ranking kepada masjid seluruh dunia dengan meletakkan Masjid Biru di Turki dan Masjid Nasir al-Molk di Shiraz, Iran di tempat teratas.  Manakala platform tempahan penginapan Agoda turut berbuat demikian dengan meletakkan Masjid Putra di Putrajaya dan Masjid Hassan II di Maghribi antara yang paling gah untuk dilawati.

Di Melaka, kewujudan banyak masjid di negeri ini adalah rentetan sejarahnya sebagai pusat penyebaran dan perkembangan Islam di Nusantara.  Masjid berfungsi  meningkatkan syiar Islam selain memenuhi keperluan penduduk.  Banyak masjid lama yang sering dikunjungi pelancong setiap kali datang ke negeri ini.

Ia termasuklah Masjid Tengkera, Masjid Kampung Kling, Masjid Kampung Hulu, Masjid Peringgit dan sebagainya. Masjid Selat dan Masjid Cina adalah antara masjid binaan baharu yang mendapat perhatian kerana lokasi serta keunikan seni binanya.

Masjid Selat adalah antara masjid binaan baharu yang terletak di Pulau Melaka iaitu pulau buatan manusia. Terletak di kawasan pusat perniagaan Banda Hilir,  ia adalah ilham Tun Ali Rustam, Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Melaka sekarang.

Ilham ini didapati Tun Ali Rustam semasa melawat masjid terapung di bandar Jeddah, Arab Saudi semasa beliau memegang jawatan sebagai Ketua Menteri Melaka. Dibina pada Jun 2003 dan siap sepenuhnya pada 29 Ogos 2006 dengan belanja hampir RM11 juta di kawasan seluas 1.8 hektar dengan seni bina Melayu dan Timur Tengah.

Masjid dengan kubah besar berwarna keemasan ini nampak seolah-olah terapung apabila air naik pasang.  Oleh sebab itu ada yang menggelar masjid ini sebagai masjid terapung.  Ia boleh dilihat jelas dari jarak yang jauh dengan warna biru keemasan bergabung dengan air laut.  Terdapat sebuah menara di sebelah kiri pintu gerbang masjid setinggi 30 meter.

Ia bukan sekadar menara untuk menebarkan azan ke seluruh kawasan sekitar, tetapi juga berfungsi sebagai rumah api.  Rumah api biasanya mengeluarkan cahaya sebagai tanda amaran kepada para perahu serta kapal-kapal lain yang melalui perairan Selat Melaka.  Ia juga sebagai panduan kepada pesawat terbang di ruang udara.

Lokasinya di tepi laut iaitu berada di Selat Melaka juga antara sebab ia mendapat perhatian. Rekaannya masih mendaulatkan seni bina Melayu dengan elemen pada batang buluh yang pangkalnya dibelah atau pecah dua dan membentuk beberapa bahagian menjadi konsep rekaan. Empat kubah kecil yang terletak di setiap penjuru menggapit kubah yang besar.  Kubah besar menaungi Dewan Besar Solat berukuran 24 meter diameter.

Mimbar masjid yang berasaskan kayu jati diukir dengan seni ukiran yang sangat halus bermotif tumbuh-tumbuhan dan bunga-bungaan. Manakala di dinding masjid tergantung seni-seni kaligrafi dan ayat-ayat suci al-Quran.  Seni Muqarnas di bahagian atas mihrab terdiri daripada jubin-jubin terpilih dengan corak geografi dan kedalaman berbeza bagi menghasilkan sistem bunyi akustik yang baik serta mengurangkan gema.

Masjid ini telah dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Al-Marhum Tuanku Syed Putra Jamalullail pada 24 November 2006.