Masjid Tengkera: sejarah yang diimarahkan para ulama

Budaya Hanita Hassan 22-Nov-2020
Tengkera-Mosque-in-Melacca-Malaysia-0
Masjid Tengkera, Melaka © beautifulmosque.com

Masjid adalah simbol agama Islam.  Ia berfungsi sebagai pusat ibadah terpenting kepada orang Islam.  Di Melaka, pembinaan masjid bukan sahaja mempunyai nilai sejarah yang penting malah turut memperlihatkan gaya seni hiasan yang tersendiri.

Masjid Tengkera atau Tranquerah terletak di Jalan Tengkera, Banda Hilir, berhampiran pinggir pantai. Dahulu dikenali sebagai Masjid Besar Tengkera.

Reka bentuk Masjid Tengkera dipengaruhi Masjid Agung Demak

Masjid Tengkera telah dibina sepenuhnya sejak tahun 1728 oleh seorang pedagang dan ulama dari India, Muhammad Salleh. Ia kemudian diwariskan kepada anaknya, Tambi untuk tujuan pembaikan.

Jika kita teliti keadaan bangunan masjid, ia dalam keadaan baik dan terjaga meskipun sudah dibina beratus tahun lalu. Struktur dinding, tiang, bumbung, lantai serta pagarnya masih kukuh. Binaannya dipengaruhi reka bentuk masjid-masjid tua di tanah Jawa dan Sumatera khususnya Masjid Agung Demak.

Menaranya dibina terpisah dari bangunan utama.  Ia mempunyai 64 anak tangga dan dipercayai pernah menjadi kubu pertahanan selain pedoman para nelayan pulang ke darat pada zaman silam.  Empat batang tiang yang terdapat dalam masjid ini sama seperti binaan masjid lain di negeri ini.  Ia sebagai menggambarkan nilai estetika masjid yang masih dikekalkan.

Berada di dalam masjid ini membuatkan kita berasa selesa, tenang dan dingin. Sebelum Majid Negeri Al-Azim dibina, Masjid Tengkera berperanan sebagai masjid rasmi negeri. Banyak majlis rasmi negeri diadakan di sini dahulu.

Uniknya masjid warisan ini terletak pada hiasan bumbungnya yang dikenali sebagai mahkota atap masjid yang kini semakin berkurang bilangannya.  Malah ada yang hampir dilupuskan.

Masjid Tengkera sentiasa diimarahkan oleh para ulama

Kesan kemasukan pengaruh seni bina Islam daripada luar dan perubahan perspektif terhadap seni bina Islam menjadikan mahkota atap masjid di Melaka mengalami ancaman kepupusan. Ia diganti dengan elemen seni bina baharu seperti kubah berbentuk bawang di kebanyakan masjid.

Bagi pencinta seni bina Islam, melihat reka bentuk masjid boleh memberi gambaran   bahawa Islam telah bertapak sekian lama di negeri Melaka. Lebih dari 600 tahun lalu. Malah kedudukan Melaka sebagai Empayar yang kukuh dari semua aspek pentadbiran dan politik serta pusat perdagangan dunia.  Ia berjaya mengembangkan Islam ke seluruh Nusantara tanpa melibatkan pertumpahan darah.

Pemacu utama gerakan dakwah dan penyebaran Islam di Melaka adalah daripada kegiatan para ulama. Kebangkitan Melaka telah menyebabkan para ulama berpindah dari Perlak ke Melaka. Ia menjadi kawasan baharu untuk dakwah disebarkan. Dalam masa yang sama, Samudera-Pasai masih kekal sebagai pusat keilmuan Islam.

Masjid dijadikan tempat untuk para ulama menyebarkan ilmu. Kehadiran para ulama dan Makhdum Syed Abdul Aziz, maka majlis-majlis ilmu berkembang pesat. Dari anjung istana hingga ke masjid-masjid dan surau-surau.

Masjid Tengkera salah sebuah masjid yang sentiasa diimarahkan oleh para ulama.  Ia dihidupkan dengan majlis berzanji. Ia juga berperanan sebagai tempat aktiviti agama, mengimamkan solat jenazah penduduk setempat serta majlis selawat dan akad nikah perkahwinan.