Masjid terapung di Kuala Ibai, Terengganu

Singgah Abi Aasim 22-Jul-2020
Masjid Tengku Tengah Zaharah © Ravindran Smith | Dreamstime.com

Masjid terapung yang terletak di Kuala Ibai kira-kira 7 km dari bandar Kuala Terengganu dan berdekatan kawasan pantai ini  merupakan masjid terapung pertama di Malaysia. Masjid ini  menampilkan gabungan ciri-ciri tamadun Islam dan seni bina tempatan dengan  penggunaan batu marmar dan seramik.

Digelar sebagai masjid terapung kerana binaannya di dalam air menampakkan seolah-olah masjid ini terapung di atas air. Pembinaan masjid ini berjumlah RM6.997 juta. Masjid ini telah dibina pada bulan September tahun 1991 dan berjaya disiapkan pada pertengahan tahun 1994. Masjid ini dibina di atas air muara Sungai Ibai, Terengganu.

Masjid terapung atau Masjid Tengku Tengah Zaharah ini  dinamakan bersempena dengan nama  bonda Al-Marhum Sultan Terengganu yang ke-17 iaitu Almarhumah Tengku Tengah Zaharah Almarhum Tengku Setia Diraja Tengku Omar.

Masjid ini terbina dari inspirasi Almarhum Sultan Terengganu, Al-Marhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah Ibni al-Marhum Sultan Ismail Nasiruddin Shah. Masjid ini  mempunyai keluasan 1,372 meter persegi dan mempunyai menara dengan ketinggian 38 meter. Masjid ini turut dilengkapi sebuah kubah besar,  lima wakaf  dan dikelilingi air sedalam 1.5 meter.

Masjid terapung ini merupakan salah satu mercu tanda dan tarikan pelancong di negeri Terengganu. Keunikan dan keindahan pada seni binanya telah menjadikan Masjid Tengku Tengah  Zaharah tarikan orang ramai untuk mengerjakan ibadah solat di sana.

Masjid terapung ini mampu memuatkan sejumlah 1000 orang jemaah pada satu masa di mana ianya mempunyai dua buah dewan. Dewan solat utama jemaah lelaki di tingkat bawah manakala dewan solat jemaah perempuan di tingkat atas. Keluasan tapak kereta di kawasan masjid ini  boleh menampung sejumlah lebih 400 buah kenderaan yang berkunjung ke situ.

Masjid ini turut menyediakan kemudahan lain seperti perpustakaan kecil, stor juga tempat wuduk dan pejabat imam masjid. Masjid ini juga boleh dijadikan tempat untuk bakal pengantin melangsungkan upacara pernikahan.

Jika anda berkunjung ke negeri Terengganu, singgahlah solat di masjid terapung ini untuk merasai suasananya yang selesa dan mendamaikan jiwa.