Masjid Wadi Al-Husein, masjid kayu berusia 380 tahun – tertua di Thailand!

Masjid 15 Mac 2021 Md Wa'iz
Pilihan oleh Md Wa'iz
Masjid Wadi Al-Husein, masjid kayu berusia 380 tahun - tertua di Thailand!
Masjid Wadi Al-Husein, masjid kayu berusia 380 tahun - tertua di Thailand! © thailandtourismdirectory.go.th

Terdapat sebuah bangunan masjid kayu yang masih kukuh berdiri di Thailand walaupun usianya sudah mencecah hampir 400 tahun (380 tahun). Masjid tersebut ialah Masjid Wadi Al-Husein. Apakah sejarah dan keunikan masjid ini?

Teruskan pembacaan anda dengan artikel di bawah ini.

Sejarah ringkas Masjid Wadi Al-Husein

Masjid Wadi Al-Husein adalah sebuah masjid kayu yang terletak dalam sebuah perkampungan Melayu Islam di Telok Manok, Narathiwat, Thailand.

Berdasarkan catatan sejarah, masjid ini merupakan antara binaan masjid tertua yang masih ada di Thailand. Ia juga adalah masjid kayu tertua di seluruh Thailand.

Masjid ini dikatakan telah siap dibina dan digunakan sejak tahun 1634 Masihi lagi. Selain nama Masjid Wadi Al-Husein, ia juga dikenali dengan beberapa nama lain seperti Masjid Al-Hussein dan Masjid Telok Manok. 

Dibina oleh Wan Husein As-Sanawi

Masjid ini dibina pada era akhir Kesultanan Patani sebelum ditakluk dan dijajah oleh Kerajaan Siam. Menurut maklumat sejarah, bangunan asal masjid ini telah dibina oleh Wan Husein As-Sanawi.

Wan Husein As-Sanawi adalah seorang guru dan ulama yang berhijrah ke Patani sekitar tahun 1624.

Seni bina campuran yang unik 

Walaupun ia adalah sebuah masjid, jika dilihat dari jauh, ia tidak kelihatan seperti sebuah masjid yang biasa dilihat. Ini kerana, masjid ini tidak mempunyai sebarang kubah dan juga ciri-ciri biasa yang terdapat pada sebuah masjid.

Ia juga tidak mempunyai lambang bulan dan bintang pada puncak bumbungnya. Bumbung masjidnya juga hanya berbentuk seperti bumbung sebuah rumah atau istana. Menarik mengenai masjid ini ialah, ia dibina dengan gabungan beberapa ciri seni bina iaitu seni bina Melayu, Thailand, Cina dan juga Champa.

Masjid ini tidak menggunakan sebarang paku dalam pembinaannya dan ia mempunyai dua bahagian iaitu ruang mihrab dan ruang untuk bersolat. Turut dibina sebuah menara kecil yang bersambung terus dengan bumbungnya yang berlapis tiga. Menara tersebut mempunyai ciri seni bina Cina.

Bagi bangunan yang menempatkan ruangan solat pula, ia mempunyai struktur bumbung besar yang unik dengan ciri seni bina Thailand. Ukiran pada dinding kayu, pintu dan tingkap pula banyak dipengaruhi dengan seni ukiran Melayu.

Pernah diubah suai pada tahun 2014

Pada tahun 2014, Masjid Wadi Al-Hussein pernah menerima sejumlah dana daripada Kerajaan Thailand sendiri untuk memperbaiki struktur dan persekitaran masjid.

Dana yang disumbangkan oleh Kerajaan Thailand pada ketika itu adalah sebagai sebahagian daripada persediaan ASEAN Community. Salah satu fungsi tambahan yang ditambah pada masjid ini ialah penubuhan pusat komuniti yang diharapkan boleh menarik lebih ramai pelancong.

Miliki seni bina asli masjid Melayu

Masjid ini adalah contoh yang menampilkan kekayaan seni bina tradisi yang masih terpelihara walaupun sudah berusia lebih 380 tahun.

Masjid ini juga merupakan antara contoh seni bina masjid asli yang ada di alam Melayu ada juga Nusantara.