Mauritania, negara Islam Hujung Barat

Dunia Hagnas 25-Ogo-2020
Sebuah masjid di Nouakchott, ibu negara Mauritania © Sergey Mayorov | Dreamstime.com

Islam merupakan agama kebangsaan di Republik Islam Mauritania. Negara ini terletak di sepanjang pantai Lautan Atlantik, di sebelah utara Benua Afrika. Di sebelah Barat negara ini terdampar lautan, di sebelah Selatan negara ini adalah negara jiran Senegal dan Mali, di sebelah Timurnya bersempadan dengan Algeria dan di sebelah Utara pula adalah gurun Sahara.

Sejak zaman purba lagi, kawasan-kawasan ini didiami oleh golongan nomad dikenali sebagai Berber. Mauritania (berasal dari perkataan Arab Mauharim yang bermaksud ‘Hujung Barat’) merupakan nama yang telah diberikan oleh pelayar-pelayar dari Kerajaan Phoenicia, yang merupakan sebuah kerajaan dari abad ke-13 hingga ke-8 sebelum Masihi yang wujud di tanah Palestin sekarang ini.

Islam mula tersebar di seluruh Mauritania pada awal zaman penaklukan negara Arab. Pada tahun 709, panglima perang Khalifah Umayya iaitu Al-Walid Musa bin Nusayr telah membuka negara-negara maghrib (Libya, Algeria, Moroko dan Mauritania) dan kesemua negara ini termasuk dalam Khilafah tersebut.

Bagaimanapun, penyebaran agama Islam telah bertembung dengan tradisi turun-temurun penduduk-penduduk tempatan yang menyembah berhala. Apabila Yahya bin Ibrahim, ketua suku Berber di Lamtuna, kawasan yang paling ramai penduduk, dalam perjalanannya menunaikan haji di Mekah melihat adat-adat kaumnya (yang bertentangan dengan Islam), beliau telah menjemput pendakwah terkenal pada ketika itu iaitu Abdullah bin Yassin.

Abdullah bin Yassin mengikuti ajaran Islam yang benar dan mendidik kaum Berber dengan ilmu dan amalan dari Mazhab Maliki untuk membersihkan penduduk-penduduk di negara-negara Maghrib dari ajaran-ajaran yang bertentangan dengan Islam. Pada tahun 1036, bermulalah zaman pembentukan negara yang diasaskan oleh Almoravid (yang merupakan pengikut-pengikut Abdullah bin Yassin) yang mengamalkan amalan berdasarkan mazhab Maliki dan memperoleh kedudukan berpengaruh di sana.

Selepas kejatuhan Kerajaan Almoravid pada tahun 1147 Masihi, Mauritania telah berpecah kepada beberapa bahagian sehinggalah bermulanya penaklukan Kerajaan Perancis pada abad ke-19. Dalam tempoh yang lama Perancis gagal menakluk Mauritania. Pada tahun 1904, Perancis telah mengisytiharkan Mauritania sebagai sebuah jajahan Kerajaan Perancis, namun hanyalah pada tahun 1920 Perancis berjaya secara rasminya mengambil Mauritania sebagai jajahannya.

Akhirnya pada tahun 1960, Mauritania berjaya mencapai kemerdekaan. Sebagai sebuah negara yang mempunyai tradisi tempatan yang kuat, Mauritania lebih cenderung kepada amalan-amalan Sufi, terutamanya tareqkt Darwish yang tersebar luas terutamanya di Tijania dan Qadiriyya, yang masih aktif sehingga hari ini dan merupakan elemen penting dalam institusi Islam negara ini.

Islam di Mauritania juga merupakan gabungan ajaran Sufi dan kepercayaan tradisi. Sebagai contoh, dalam mengiktiraf dan mengakui Allah SWT sebagai Tuhan yang Maha Esa, sebahagian orang-orang Mauritania juga pada masa yang sama mempercayai kepada makhluk dan roh ghaib, tanpa melihat sebarang percanggahan dengan akidah Islam.

Menurut perlembagaan negara ini, sumber rasmi perundangan ialah undang-undang Syariah. Negara ini mempunyai mahkamah syariah dan sistem perundangan syariah. Negara ini juga menjamin tolak-ansur yang penuh terhadap agama-agama lain. Orang-orang Islam di Mauritania, sebuah negara yang mempunyai tradisi masyarakat majmuk yang panjang, hidup aman antara kepercayaan agama lain dan mazhab atau pecahan agama Islam (sebagai contoh golongan Ahmadiyah).

Kehidupan beragama di negara ini diuruskan oleh Kementeriana Budaya dan Orientasi Islam. Selain itu, terdapat Suruhanjaya Tinggi Islam yang mempunyai enam orang Imam, yang bertindak sebagai badan penasihat kerohanian yang sentiasa mengawal-selia kepatuhan amalan masyarakat dengan pegangan Syariah.

Ahli-ahli dalam Suruhanjaya Tinggi melantik ketua kepada seluruh masyarakat Islam di Mauritania, iaitu Mufti Besar. Jawatan ini sekarang ini dipegang oleh Sheikh Ahmed Ould Murabit. Islam, yang menjadi elemen penting dalam menyatukan masyarakat sepanjang tempoh mereka berjuang menentang penjajahan Perancis, terus memainkan peranan rohani dan sosial yang penting dalam masyarakat Mauritania.