Persekitaran Web Patuh Muslim.. Ketahuiselanjutnya

Mazleela Mangsa Penyingkiran Pertama Gegar Vaganza 6

Seni Helmi Anuar 21-Okt-2019

Penyanyi Mazleela menjadi mangsa penyingkiran yang pertama untuk Gegar Vaganza musim keenam tahun ini selepas mendapat markah tercorot daripada juri.

Mazleela yang mendendangkan lagu dari Ramlah Ram berjudul ‘Apa Khabarmu Di Sana’ mendapat markah sebanyak 49 peratus sekaligus meletakkannya di tempat yang terakhir di belakang Ameer Sofarz.

Mangakui mengalami masalah kesihatan jantung, Mazleela yang ditemui ketika sidang media berkata, beliau mahu menggunakan peluang dapat beraksi di pentas Gegar Vaganza untuk memperkenalkan semula namanya di persada seni.

Saya redha dengan penyingkiran ini. Mungkin saya ada buat kesalahan dalam nyanyian saya. Kita kena bersikap terbuka.

Gegar Vaganza punya impak yang sangat besar. Alhamdulillah, selepas 20 tahun menyanyi, Gegar Vaganza kembali memperkenalkan nama saya. Sewaktu saya pergi uji bakat, saya hanya sekadar suka-suka. Tetapi bila dapat panggilan bahawa saya terpilih, rasa sangat berbesar hati kerana yang datang uji bakat bukannya seorang dua.

Tambah Mazleela lagi, sebelum ini ramai yang tidak mengenali dirinya, namun mereka tahu lagu yang dinyanyikannya. Justeru kehadirannya di pentas Gegar Vaganza akan memperkenalkan dirinya kepada mereka yang tidak tahu siapakah gerangan Mazleela.

Melihat tubuhnya yang sedikit kurus berbanding dahulu, Mazleela yang menetap di Johor Bharu mengakui ia ada kena mengena dengan masalah kesihatannya.

Pada mulanya saya ingatkan saya ada masalah semput. Jantung rasa seperti ada yang menekan. Bila saya lakukan pemeriksaan, doktor cakap saya ada masalah jantung tersumbat. Tapi bila doktor lihat pada draf jantung katanya sakit saya tidak serius cuma dia minta saya berhati-hati“.

Sementara itu, pada konsert minggu kedua Gegar Vaganza 6 yang lalu menyaksikan Naqiu mendapat kedudukan tertinggi diikuti dengan Hady Mirza dan Sham Visa.

Minggu hadapan kesemua perserta akan menyanyikan lagu yang tidak menjadi kebiasaan mereka dalam tema ‘Yang Aneh-Aneh’ . Bagaimana agaknya persembahan mereka pada konsert yang akan datang? Jangan lupa untuk saksikan Gegar Vaganza 6 pada setiap hari Ahad jam 9 malam di saluran Astro Ria.