MBPP kaji cadangan operasi restoran nasi kandar waktu sahur

Selera Adea Ghafar 20-Apr-2020
Nasi kandar Pulau Pinang © Ravindran Smith | Dreamstime.com

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Datuk Yew Tung Seang berkata, cadangan pengusaha-pengusaha nasi kandar di lokasi pulau untuk menjalankan operasi restoran dan penghantaran makanan pada waktu sahur semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan dikaji dengan teliti.

Beliau menerangkan, cadangan itu akan dipertimbangkan jika ada permohonan yang diajukan, dengan menekankan kepada langkah-langkah penting yang harus diambil sebelum membuat keputusan. Ini akan dilihat dengan lebih terperinci, termasuk keperluan pengusaha-pengusaha restoran nasi kandar untuk beroperasi pada waktu yang dicadangkan, sebelum bermula waktu berpuasa.

MBPP akan terlebih dahulu berhubung dengan pihak berkuasa, terutamanya polis untuk melihat sama ada cadangan itu dapat diterima, terutamanya waktu cadangan yang diberi semasa operasi PKP diteruskan.

Presiden Komuniti Muslim Malaysia (IMCom), Mohd Rizwan Abdul Ghafoor Khan berharap agar MBPP dapat mempertimbangkan cadangan itu kerana prihatin dengan keadaan pekerja kilang yang bekerja di waktu malam, dan orang-orang bujang yang tidak boleh keluar membeli makanan kerana PKP.

Cadangan IMCom termasuk memohon tiga jam waktu operasi dari jam 2.30 pagi hingga 5.30 pagi. Perkhidmatan pesanan makanan dan penghantaran makanan akan menggunakan perkhidmatan dalam talian aplikasi ‘Mr Runner’. Aplikasi ini boleh dimuat naik melalui Google Apps Store yang akan dilancarkan dalam minggu ini.

Menurut Mohd Rizwan, cadangan itu juga bakal membantu para petugas tempatan di barisan hadapan, terutama mereka yang bekerja di waktu malam untuk memesan makanan, sekiranya terdapat kesukaran dalam mendapatkan makanan untuk bersahur.

Ingin berkata sesuatu?

Sila berhubung!