Media dan kakitangan KKM buat kejutan hari jadi Dr. Noor Hisham

Kehidupan Hafiz Firdaus 21-Apr-2020
Selamat Hari Jadi Dr. Noor Hisham © facebook.com/DGHisham

Lagu ‘Selamat Hari Jadi’ telah memenuhi tingkat ke lapan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini, sebagai kejutan kepada Ketua Pengarah KKM, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah yang menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-57. Dengan kehadiran semua orang sambil mengamalkan penjarakan sosial, lagu ulang tahun kelahiran secara mengejut itu bergema ketika beliau mengambil soalan terakhir pada sidang media COVID-19 hariannya, apabila pegawai media dan kakitangan kementerian mengeluarkan kek hari jadi.

Dr. Noor Hisham mengucapkan terima kasih kepada semua rakyat Malaysia yang turut mengucapkan selamat hari jadi kepadanya. Beliau mengingatkan, masyarakat masih berjuang untuk meratakan  lekukan wabak COVID-19 dan hanya dengan kerjasama semua akan dapat memastikan sasaran menurunkan kes-kes COVID-19 akan tercapai. Dengan tersenyum manis kepada 30 petugas-petugas media, beliau mengambil kesempatan untuk memperkenalkan timbalan-timbalan dan para pegawainya, yang digambarkan sebagai ‘komandan’ beliau yang selalu berada di sisinya semasa sidang media.

Mereka termasuk para timbalannya, iaitu Datuk Dr. Rohaizat Yon (Perubatan), Datuk Dr. Chong Chee Keong (Kesihatan Awam), Dr. Hishamsham Mohd Ibrahim (Penyelidikan dan Sokongan Teknikal), dan Ketua Bahagian Kawalan Penyakit, Dr. Norhayati Rusli. Kemudian, Dr. Noor Hisham meluangkan masa untuk melihat lukisan-lukisan hasil para pelajar Sekolah Kebangsaan Batu Arang, Selangor yang memaparkan pelbagai mesej dan ucapan terima kasih kepada semua pekerja barisan hadapan dalam memerangi COVID-19.

Dr. Noor Hisham telah membanggakan negara baru-baru ini apabila diakui oleh China Global TV Network (CGTN) sebagai antara tiga doktor terkemuka dunia dalam menangani wabak COVID-19. Dua doktor lain yang tersenarai di CGTN adalah pakar penyakit berjangkit Amerika Syarikat, Dr. Anthony Fauci dan Ketua Pengarah Kesihatan New Zealand, Ashley Bloomfield.

Dr. Noor Hisham terus memohon agar semua rakyat Malaysia dapat tinggal di rumah dan menuruti Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), yang dianggap sebagai hadiah ulang tahun untuknya dalam usaha untuk memutuskan rantai jangkitan COVID-19 yang telah meragut ratusan ribu nyawa di seluruh dunia. Beliau yang juga pakar bedah, memiliki Ijazah Sarjana Pembedahan dan Doktor Perubatan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Dia dilantik sebagai Ketua Pengarah Kesihatan pada 1 Mac 2013 menggantikan Datuk Seri Dr. Hasan Abdul Rahman.