Media sosial dan budaya sopan santun dalam masyarakat

dreamstime_s_196166230
Pengaruh media sosial © Razihusin | Dreamstime.com

Kehadiran media sosial banyak mempengaruhi aktiviti kehidupan seharian kita. Bukan sahaja pada remaja, malah orang dewasa juga terpengaruh dengan budaya media sosial hingga sukar untuk menjarakkan diri dari media sosial.

Sebagai rakyat Malaysia, kita memang cukup terkenal dengan adab berbudi bahasa, bersopan santun dan berbudi pekerti yang tinggi. Namun di mana silapnya? Adakah kehadiran media sosial di negara kita membawa pengaruh negatif hingga terhapusnya budaya sopan santun dalam diri masyarakat.

Mengikut maklumat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), mereka sering menerima aduan dan laporan penyalahgunaan media sosial seperti fitnah, tuduhan tidak berasas, kata-kata caci maki dan ugutan dari pelbagai pihak. Jika benar seperti yang didakwa, memang impak yang dibawa oleh media sosial ini dalam kehidupan harus diberi perhatian.

Gelaran-gelaran yang diberikan terhadap orang lain agak memalukan. Di media sosial juga, fitnah dan tuduhan disebarkan secara meluas tanpa usul periksa. Walaupun rata-rata masyarakat Malaysia tahu kesan penyalahgunaan media sosial ini menghakis nilai murni dalam masyarakat, ianya seakan-akan tidak dapat dibendung sebaiknya.

Lebih menyedihkan apabila pemimpin-pemimpin politik yang mempunyai banyak penyokong di media sosial memanfaatkan sepenuhnya media sosial mereka untuk menyebarkan dakyah politik mereka. Bercakap seakan-akan tiada fakta dan melakukan serangan berunsur fitnah atas pihak yang tak bersetuju dengan mereka.  Malah lebih berat apabila caci maki dan kata-kata kesat sudah menjadi lumrah dalam perkongsian dan ceramah secara langsung di media sosial.

Kehadiran media sosial juga telah melahirkan beberapa ikon media sosial dengan pengikut mereka yang tersendiri. Kehadiran penyokong-penyokong tegar dan fanatik ini sering mencetuskan perbalahan besar apabila ada sesetengah pihak yang cuba menegur kesalahan ikon pujaan mereka ini. Akhirnya berhimpunlah pelbagai komen penuh dengan kata-kata cacian dan makian bagi mempertahankan hujah masing-masing.

Adakah prinsip rukun negara ke-lima, kesopanan dan kesusilaan tidak lagi meresap ke dalam jiwa rakyat Malaysia? Mungkin ia sekadar satu ikrar atau lafaz yang tiada maknanya lagi. Kecanggihan teknologi seperti media sosial telah membunuh jati diri dan budi pekerti rakyat negara kita yang terkenal dengan sikap sopan santun.

Marilah kita cuba ubah sikap ini dan gunakan media sosial dengan sebaik mungkin. Media sosial apabila digunakan dengan betul, mampu menjadi medan perbincangan penuh ilmiah, bukannya medan berbahas mencari siapa yang salah.

Usahlah kita setakat menjadi pejuang papan kekunci cuba menjadi popular di media sosial tanpa mengira benaar atau salah. Berbudi bahasalah walau di mana kita berada. Bukankah budi bahasa itu budaya kita rakyat Malaysia?

Akhir kata, yang baik jadi tauladan, yang buruk jadi sempadan. Kawallah penggunaan media sosial untuk kebaikan dan jangan biarkan diri kita yang dikawal oleh media sosial.